Monday 10 March 2014

Lelaki maut ketika menangkap ikan

Lelaki maut ketika menangkap ikan
Mayat Che Sahaipol ditemui orang ramai pada jam 9 pagi semalam, di kawasan paya belakang SK Kubang Kuau. Mangsa dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu selepas keluar menangkap ikan.


RANTAU PANJANG - Seorang pemuda ditemui mati dalam keadaan terduduk dengan kedua-dua kakinya terjerlus ke dalam paya di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kuau, di sini pada jam 9 pagi, semalam.

Mangsa, Che Sahaipol Hafiji Che Hassan, 36 dilaporkan hilang sejak petang Jumaat lalu selepas keluar menangkap ikan, dan selepas membuat laporan polis, keluarganya memohon bantuan orang ramai serta pihak berkuasa untuk mencari mangsa di kawasan terdekat.

Isteri mangsa, Rohazila Ismail, 33 memaklumkan, selepas solat Asar, Jumaat lalu, mangsa ada memaklumkan mahu ke paya berkenaan untuk menangkap ikan.

Menurut Rohazila, selepas seharian mangsa tidak pulang ke rumah, dia mula risau dan meminta jiran serta rakan mangsa mencari di kawasan paya berkenaan.

"Usaha mencari ditangguhkan ketika waktu Maghrib kerana hari semakin gelap dan disambung keesokan hari sehingga mayat mangsa ditemui.

"Sebelum ini saya tak tahu arwah menangkap ikan guna peralatan elektrik buatan sendiri dan selepas kejadian ini, saya buntu memikirkan ikhtiar mencari rezeki bagi menampung keperluan harian serta persekolahan tiga anak saya yang berusia 3 hingga 11 tahun," katanya.


Kereta jadi petunjuk

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Keri Jaafar, 25, berkata, penduduk meneruskan usaha mencari pagi semalam dan menemui kereta jenis Proton Wira dinaiki mangsa dekat kawasan paya berkenaan.

Menurutnya, selepas sejam mencari, penduduk menemui mayat mangsa dengan kesan terbakar pada tangan sementara peralatan elektrik untuk menangkap ikan berada di belakangnya.

"Sebelum kejadian, Che Sahaipol kelihatan tidak keruan dan sering termenung. Dia sempat belanja saya minum sebelum beredar untuk menangkap ikan.

"Kemudian dia kembali ke kedai itu untuk meminjam wang sebanyak RM3. Di situ saya dah nampak perubahan sikap arwah, namun saya anggap dia mungkin ada masalah lain," katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada unsur jenayah.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment