Monday 10 March 2014

"Tiada alasan kukuh dakwaan kumpulan Chinese Martyr Brigade" - Hishammuddin


KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menolak dakwaan surat terbuka dari sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Chinese Martyr Brigade'.

Kumpulan itu telah mendakwa merekalah yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia yang hilang awal pagi Sabtu.

"Saya telah melihat surat itu. Saya tidak rasa terdapat asas kukuh yang mengatakan (surat) itu benar," kata Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dalam satu sidang media pada Isnin.

Beliau mengulas tentang sebuah dokumen yang telah diedarkan kepada wartawan, yang kononnya datang dari China.

Surat berkenaan yang ditandatangani oleh 'ketua Chinese Martyr Brigade', antaranya telah mengutarakan tentang keluhan golongan minoriti China Uighur serta mengkritik kerajaan China.

Menurut Boxun News, surat tersebut telah dihantar kepada personaliti media sosial berbangsa Cina di New York yang dikenali sebagai Bei Feng (Wen Yunchao).

Bagaimanapun kandungan surat itu telah ditolak oleh media antarabangsa dan juga China, kerana disifatkan sebagai kurang kredibiliti.

Semalam, pihak berkuasa Malaysia memberitahu mereka tidak tahu tentang dakwaan tersebut, kerana pihak berkuasa China tidak memaklumkan tentang perkara itu.

Sementara itu, Hishammuddin berkata pihak berkuasa negara sedang bekerjasama dengan agensi perisik antarabangsa termasuk Amerika Syarikat dan China untuk menyiasat semua sudut.

"Kita akan menyiasat semua dakwaan, tetapi hanya fokus kini adalah untuk mencari pesawat itu," katanya.

Selain itu, beliau juga meminta semua pihak termasuk media agar berhenti menyebarkan maklumat yang tidah sahih kerana ianya boleh menjejaskan penyiasatan dan juga ahli keluarga penumpang.

ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment