Monday 17 March 2014

Spekulasi MH370 di media sosial sukar dihalang - Rahman Dahlan

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan. Gambar fail Astro AWANI.


SUBANG JAYA: Spekulasi mengenai MH370 yang disebar di media sosial tidak mudah dihalang, meskipun kerajaan telah melarang maklumat sedemikian dikongsikan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata maklumat itu kadang-kala datang dari luar negara dan kemudiannya disebarkan oleh pengguna media sosial tempatan.

Bagaimanapun pesan beliau, apa yang penting ialah majoriti rakyat Malaysia terus meluahkan perasaan dan kesedihan mereka melalui pelbagai cara.

“Yang RT tu jenuh kita pesan, tetapi dalam dunia zaman sekarang ini, kita tidak dapat membendung segala-galanya. Kita anggap itu sebahagian daripada kebodohan manusia," katanya kepada pemberita ketika menghadiri program ‘Sama-sama MH370’ di Subang Jaya pada Ahad.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen BN-Kota Belud sebelum itu telah membacakan puisi yang bertajuk MH370 yang diiringi kumpulan indie tempatan, Pesawat.

Katanya puisi itu telah menyentuh hati beliau sendiri ketika membacanya kerana ia berjaya menonjolkan luahan isi hati penulis mengenai insiden pesawat MH370 itu.

Sejak pesawat MH370 milik Malaysia Airlines dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu, pelbagai teori dan spekulasi liar ditimbulkan oleh pelbagai pihak sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Pelbagai andaian dibuat sama ada daripada mereka yang berlatar-belakangkan bidang penerbangan dan keselamatan, malah tidak kurang juga daripada mereka yang hanya duduk di depan komputer tetapi turut sama mahu menjadi ‘pakar’.

Di laman sosial contohnya, pelbagai spekulasi dan khabar angin dengan mudah bertebaran apabila tanpa sebarang rasa bersalah.

Masing-masing berlumba untuk menjadi yang pertama menekan butang 'share' tanpa mempedulikan kesahihan khabar yang dihantar.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment