Monday, 17 March 2014

Bekas peguam Anwar menyamar pegawai khas menteri?

R. Sri Sanjeevan

KAJANG - Pengerusi MyWatch, R. Sri Sanjeevan mendakwa bekas peguam kes liwat Anwar, Yuktesvaran Malaipan cuba menyamar sebagai pegawai khas kepada timbalan menteri pendidikan Malaysia untuk kepentingan peribadi.

Dakwanya, tindakan Yuktes itu agak serius apabila beliau menggunakan gelaran itu untuk kegunaan rasmi dengan kerajaan termasuk laporan polis pada Februari lalu.

"Bagaimana seorang peguam itu boleh menyalahgunakan gelaran itu sedangkan pegawai timbalan menteri terbabit mengesahkan nama Yuktes tidak tersenarai dalam senarai bayaran gaji," katanya pada sidang media di Sg Chua, di sini, hari ini.

Yuktes merupakan salah seorang peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebelum ini pernah menawarkan diri bertanding pada PRK N25 Kajang untuk menentang bekas bosnya.

Bagaimanapun Yuktes menarik diri apabila mengetahui mahkamah rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas ketua pembangkang itu sekali gus Anwar hilang kelayakan bertanding.

Dalam pada itu, Sanjeevan turut mendedahkan Yuktes melakukan beberapa penipuan lain termasuk menggunakan alamat rumah orang lain untuk tujuan bertanding di Kajang.

"Berdasarkan carian MyWatch, pemilik rumah itu ialah seorang Cina, Encik Chin dan alamat rumahnya di Country Heights, Kajang telah disalahgunakan Yuktes tanpa pengetahuannya.

"Malah carian saya di Jabatan Pendaftaran Malaysia mengesahkan Yuktes telah mengubah alamat dalam kad pengenalannya untuk bertanding di Kajang," dakwanya.

Selain Kajang, Sanjeevan mendakwa Yuktes juga menyalahgunakan dua lagi alamat berasingan untuk kegunaan rasmi kerajaan.

Antaranya di Taman Bayu Perdana, Klang dan Bandar Bukit Beruntong, Rawang.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment