Saturday, 29 March 2014

Rentetan kes pukul anak oleh pasangan Malaysia di Sweden


KUALA LUMPUR: Saga di Sweden bermula apabila pihak berkuasa Sweden menahan pegawai Tourism Malaysia di Stockholm, Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya, Shalwati Nor Shal pada 18 Disember tahun lalu atas dakwaan memukul salah seorang anak mereka yang dikatakan meninggalkan solat.

Kedua-dua mereka didapati bersalah dengan dakwaan yang dikenakan dan dijatuhi hukuman penjara masing-masing 14 bulan untuk Shalwati dan 10 bulan terhadap Azizul, pada Jumaat.

Kes yang mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa itu mula dilaporkan Astro AWANI pada 11 Januari lalu.

Menurut sumber, suami isteri itu ditahan setelah salah seorang anak mereka mengadu didera kepada seorang guru yang kemudian melaporkannya kepada polis Sweden.

Laporan itu tersebar dan hangat dibincangkan dalam laman Facebook berkumpulan sekolah berasrama penuh di Cyberjaya.

Hasil siasatan Astro AWANI, identiti pasangan suami isteri berjaya dikenal pasti pada 16 Januari.

Pada 18 Januari, anak-anak pasangan terbabit mengemukakan rayuan untuk ditempatkan bersama keluarga Islam.

Aisyah, 14 tahun, anak sulung pasangan terbabit menyuarakan keinginan itu ketika mengadakan perjumpaan dengan wakil Kedutaan Malaysia dan Khidmat Sosial Sweden.

Pada 20 Januari, pengguna media sosial melancarkan kempen bagi mendesak ‘pembebasan’ ibu bapa empat kanak-kanak ini mengunakanhashtag #SwedenLetThemGo.

Pemuda UMNO diwakili Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous, wakil Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SUKAGUAM) dan wakil Wisma Putra berlepas ke Sweden pada 25 Januari bagi membantu kes pasangan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden itu.

Azizul kemudian dihadapkan ke mahkamah pada 30 Januari manakala isterinya Shalwati dibawa ke mahkamah pada 31 Disember.

Pada 31 Januari, anak-anak pasangan terbabit berjaya diserahkan kepada keluarga Islam dari Malaysia dan mereka kemudiannyaberlepas pulang ke tanah air.

Tahanan reman pasangan terbabit turut disambung 11 hari lagisehingga 10 Februari 2014, di mana pada tarikh yang sama turut melihat pihak pendakwa raya mengemukakan 11 muka surat kertas pertuduhan.

Antara pertuduhan yang dikenakan ke atas Azizul dan Shalwati ialah melanggar integriti dan hak kanak-kanak.

Pasangan itu seterusnya mula dibicarakan pada 18 Februari selama 11 hari di mahkamah daerah Sweden.

Sepanjang prosiding, pihak pembela dan pendakwa masing-masing mengemukakan barangan bukti termasuk beberapa alat didakwa digunakan untuk memukul.

Pendakwa raya Anna Arnel menutup kes pendakwaan dengan meminta hakim menjatuhkan hukuman berat ke atas Shalwati dan Azizul pada 17 Mac.

Keputusan kemudian dibuat pada Jumaat, 28 Mac 2014 yang melihat ketua hakim Mattias Moller menjatuhkan hukuman penjara ke atas Shalwati dan Azizul selepas didapati bersalah dengan pertuduhan dikenakan.

Sumber: ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment