Saturday, 29 March 2014

11 motor terbakar angkara khianat

11 motor terbakar angkara khianat
Subramaniam (kiri) bersama penduduk melihat motosikal yang musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.


KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 motosikal yang diletakkan di parkir motosikal di Blok D, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Jinjang di sini, terbakar awal pagi semalam, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Salah seorang mangsa, Thanaletchumi, 39, berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 7.30 apabila mahu pergi ke tempat kerja.

“Saya terkejut waktu turun nak pergi kerja, motor Honda Wave saya dah musnah terbakar. Ramai tak sedar bila kejadian ini berlaku," katanya.

Thanaletchumi turut mendakwa, sebelum ini berlaku beberapa kejadian jenayah lain seperti curi motosikal dan kereta di sekitar kawasan itu.

“Saya tak sangka ia akhirnya terjadi kepada saya. Sekarang dah susah nak pergi tempat kerja," katanya.

Sementara itu, menurut seorang lagi mangsa, Mawar Erma Ja’afar, 27, ketika kejadian dia sedang tidur di rumah sebelum terjaga kira-kira jam lima pagi apabila mendengar bunyi bising di luar rumah.

“Saya jenguk ke bawah dan terkejut tengok banyak motor yang musnah terbakar, termasuk motosikal saya yang berada berhampiran.

“Saya rugi RM5,000 kerana motor rosak teruk,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk, A Subramaniam, 34, berkata, dia mungkin antara orang terakhir naik ke blok itu sebelum kejadian, namun tiada perkara mencurigakan yang disedarinya.

“Saya naik ke rumah di tingkat 4 kira-kira jam 2.30 pagi, tak lama lepas tu terdengar bunyi bising orang menjerit ada kebakaran.

“Saya dan ramai penduduk lain terpaksa sambung paip air dari atas rumah, dan simbah air ke bawah untuk bantu padamkan api. Kebakaran berjaya padam sebelum bomba tiba,” katanya.

Difahamkan kejadian seumpama itu merupakan pertama kali berlaku di blok berkenaan, namun kejadian sama pernah berlaku di Blok C tidak lama sebelum ini.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, dalam kejadian itu, empat daripada 11 motosikal terbakar 100 peratus.

“Kita menerima panggilan kira-kira jam 3.19 pagi, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang bergegas ke lokasi kejadian.

“Api marak ketika kita tiba ke lokasi kejadian, empat motosikal lain turut musnah 50 peratus, manakala selebihnya terkena bahang,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan kejadian dan memberitahu ia disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat menggunakan api.

“Punca kejadian mungkin perselisihan faham antara individu yang mendiami kawasan itu, motif masih dalam siasatan. Siapa yang tahu kejadian boleh tampil ke balai polis bantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment