Tuesday 25 March 2014

Polis cari teman lelaki bantu siasatan

Polis cari teman lelaki bantu siasatan
Laporan Sinar Harian 23 Mac lalu


BALING - Polis sedang menjejaki teman lelaki seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang dilaporkan hilang di sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil tiga hari sebelum majlis akad nikahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, keterangan lelaki berusia lingkungan 30-an itu diperlukan untuk membantu siasatan.

“Kita sudah menghubungi nombor telefon teman lelaki wanita itu tetapi tiada jawapan. Bagaimanapun, kita akan giatkan operasi untuk mencari dan mengesannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, polis sudah merakam keterangan daripada enam orang individu termasuk ahli keluarga dan kenalan rapat wanita tersebut.

“Kes ini masih dalam siasatan. Ia akan dibuat dari pelbagai sudut untuk mengetahui punca wanita keluar rumah, penganjuran majlis perkahwinan dan masalah keluarganya.

“Kita membuka kertas siasatan kes ini bawah orang hilang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu atau teman lelakinya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Balai Polis Tawar, Sarjan Mejar Nasir Omar di talian 04-4766221 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, ahli keluarga wanita itu ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Tiban, Tawar, Kuala Ketil enggan mengulas lanjut kes berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita dalam lingkungan usia 20-an didakwa diculik di depan sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil beberapa hari lalu.

Menurut laporan itu, wanita berkenaan dikatakan diculik oleh beberapa lelaki dengan menggunakan dua kereta pada Selasa minggu lalu.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati wanita itu dipercayai mempunyai teman lelaki lain sebelum bertunang. Majlis perkahwinan sepatutnya berlangsung pada 21 Mac lalu.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment