Tuesday 25 March 2014

Perahu lebih 100 tahun dijumpai

Perahu lebih 100 tahun dijumpai
Sulaiman (kanan) menunjukkan kepada Jamaluddin (dua, kiri) dan penduduk kampung perahu yang dijumpainya.


SEGAMAT – Enam sekawan yang memancing ikan di Sungai Spang Loi, Buloh Kasap mendakwa menjumpai sebuah perahu lama yang berusia lebih 100 tahun.

Sulaiman Hussin, 39, berkata, perahu itu ditemui pada petang 14 Mac lalu, ketika dia bersama lima rakan yang tinggal di Kampung Kuala Paya dan Kampung Putting, Buloh Kasap menangkap ikan di situ.

“Ketika itu musim kemarau dan paras air di beberapa sungai dan parit kering dan surut.

“Pada awalnya, kami tak ambil kisah tunggul kayu itu kerana mahu menangkap ikan sahaja di dalam sungai tersebut,” katanya, semalam.

Sulaiman berkata, dia menghampiri tunggul kayu itu untuk melihat lebih dekat sebelum cuba menariknya keluar, tetapi gagal.

Katanya, dia memanggil beberapa rakannya untuk membantu, tetapi turut gagal.

“Kemudian salah seorang daripada rakan mendapati terdapat kayu lebih besar dan lebar di bahagian bawahnya.

“Pada mulanya, saya hendak ambil kayu tersebut untuk dijadikan batang pagar kebun sayur, tetapi selepas diberitahu rakan ada kayu lagi besar, saya mula berfikir ia bukan tunggul kayu pokok mati.

“Kami berenam kemudian mengorek kawasan tunggul kayu berpasir tersebut dan terkejut apabila mendapati objek tersebut merupakan rangka perahu yang berada dalam keadaan terlungkup,” katanya.

Sulaiman berkata, selepas mendapati objek itu merupakan perahu lama, mereka kemudiannya pulang dan kembali ke kawasan itu keesokan harinya.

Mereka terpaksa menyewa jentera pengorek untuk menarik perahu itu ke daratan dan sebuah lori muatan tiga tan untuk bawa ia ke rumah Sulaiman.

“Perahu tersebut berukuran 35 kaki dan beratnya pula dianggarkan lebih kurang tiga tan. Di sekeliling perahu tersebut dijumpai peralatan seperti botol kaca lama, pinggan, parang, terompah dan rantai perahu.

“Usia perahu ini juga dianggarkan lebih 100 tahun dan tidak menggunakan paku, sebaliknya disambung menggunakan kaedah tanggam. Kayunya juga diperbuat daripada kayu batang penak dan memang tahan lama,” katanya.

Sulaiman berkata, dia turut menemui ukiran bertulis ‘BCM1184’ yang tidak diketahui sama ada nombor pendaftaran atau sebaliknya pada dinding perahu.

Sementara itu, Ketua Kampung Spang Loi, Jamaluddin Atan berkata, kawasan perahu berkenaan dijumpai merupakan laluan air utama bagi penduduk setempat.

“Saya tidak pasti sama ada terdapat lagi perahu lama di sungai tersebut kerana paras air sungai sudah naik selepas beberapa hari perahu tersebut ditemui,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment