Tuesday 25 March 2014

'Aku koyak muka mu..'

KUALA TERENGGANU - “Aku akan koyak muka mu dan anak.. aku akan selam anak dalam air kalau bising." Itu antara kata-kata ugutan daripada seorang suami kepada isterinya, dalam satu kejadian di kediaman pasangan itu di Kampung Pulau Sekati, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, suspek yang berusia 42 tahun dipercayai meluahkan kata-kata berbaur ugutan kepada isterinya selepas tidak berpuas hati terhadap bapanya yang enggan menyerahkan wang RM200 seperti yang diminta sebelum itu.

Menurut sumber, sebelum kejadian, suspek yang bekerja sebagai buruh ada meminta wang RM200 daripada bapanya, 60-an, bagaimanapun permintaan itu tidak diendahkan menyebabkan suspek naik angin sebelum melepaskan perasaan amarahnya kepada mangsa, 34.

“Mangsa yang ketika itu berada di rumah terpinga-pinga apabila suspek secara tiba-tiba mengamuk dengan mengeluarkan kata-kata ugutan yang ditujukan kepada dirinya dan anak mereka.

“Bimbang perkara tidak diingini berlaku memandangkan keadaan suspek ketika itu seperti orang kurang siuman menyebabkan mangsa nekad keluar dari rumah bersama anak untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Kata sumber lagi, mangsa yang masih tertanya-tanya punca suaminya tergamak bertindak sedemikian telah dimaklumkan bapa mertuanya bahawa suspek mungkin ingin melepaskan geram kerana permintaannya untuk mendapatkan wang RM200 sebelum itu tidak dilayan.

Mangsa yang bimbang keselamatan keluarganya serta harta benda di kediamannya pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, beberapa jam selepas kejadian.

Suspek dipercayai ditahan polis hari sama laporan dibuat untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment