Sunday 9 March 2014

Hanez Suraya akui kontroversi jejas nama

Hanez Suraya
Hanez Suraya

“PEMINAT saya kini hanya tinggal dua peratus sahaja," kata pelakon, Hanez Suraya, mengenai penerimaan masyarakat kini terhadap dirinya ekoran kontroversi yang melanda.

Walaupun tampil mengadakan sidang media untuk menjelaskan keadaan sebenar, namun pelakon drama Ruby ini, gagal mendapat sokongan daripada masyarakat terutamanya peminat.

Bukan sahaja terpaksa menerima cercaan, malah sokongan masyarakat lebih kepada isteri kekasihnya, Liyana Manan, sehingga wujudnya akaun Facebook, Kami Sokong Liyana Manan.

Akui Hanez, masyarakat terlalu cepat menghukum dirinya sehingga menuduh dan memfitnah tanpa menilai cerita sebenar.

"Sedih, namun saya terima apa sahaja cemuhan, kutukan dan cercaan daripada mereka. Saya tidak berdaya nak tutup mulut orang, biarkanlah apa sahaja orang nak kata.

"Saya buat sidang media untuk memberi penjelasan, namun saya tidak menolak sekiranya ada yang kurang pemahaman dalam penjelasan saya itu.

"Bagi orang yang kenal saya, mereka lebih tahu siapa saya. Tapi, bagi yang tak tahu, mereka akan terus menerus menuduh saya dan memandang saya dari sudut negatif sahaja.

"Namun, dari hujung rambut hingga hujung kaki, saya maafkan mereka," katanya yang mengetahui siapa dalang di sebalik permasalahan ini.


Tetap bersama Romie?

Menyedari kehadirannya dalam hidup Mr R atau Romie Rizan Adilha, adalah pada masa yang salah, Hanez memberitahu bahawa dia bukanlah punca permasalahan itu.

Menurut Hanez, masyarakat tidak boleh menyalahkannya 100 peratus kerana dia hanyalah 'mangsa' keadaan yang terheret sama dalam masalah rumah tangga pasangan suami isteri itu.

"Saya tak minta semua ini terjadi. Saya tahu, lambat laun, orang akan terima cuma penerimaan orang lambat kerana ia melibatkan hati. Namun, saya lega bila dapat meluahkan segalanya.

"Yang pastinya, saya bukan penyebab rumah tangga mereka runtuh! Sebab itulah saya minta isterinya mohon maaf. Namun, kalau dia tak mahu minta maaf, tak apa.
Saya tak desak pun.

"Biarlah mereka berdua yang selesaikan masalah itu kerana ia tidak melibatkan saya. Saya tak nak masuk campur dalam hal mereka," katanya.

Tambah Hanez, hubungan itu tidak mungkin akan diteruskan sekiranya mereka masih bahagia.

“Sejak awal lagi Romie jujur dan ikhlas dengan saya sehingga bawa saya jumpa dengan keluarganya. Malah, dia membuatkan saya yakin untuk membawanya berjumpa keluarga saya," jelasnya.

Jelas duta produk kecantikan, Aurawhite, ini, kontroversi ini juga boleh memberi kesan buruk terhadap karier seninya.

"Saya mahu bekerja dalam industri bukan sehari dua, masih panjang lagi perjalanan dalam karier ini.

"Malah, saya juga terlalu cintakan industri ini. Tak perlu burukkan saya lagi kerana ia boleh menjejaskan periuk nasi saya, nama saya juga boleh 'down' macam tu sahaja," katanya sayu.


Artis turut hentam

Bukan sahaja di kalangan masyarakat, malah golongan selebriti juga turut dilihat menyebelahi Liyana Manan dalam situasi ini, antaranya termasuklah Rita Rudaini, Rabecca Nur Al Islam, Hafiz Hamidun dan chef selebriti, Chef Wan.

Akui Hanez, dia ada membaca mengenai perkara itu, namun enggan menyalahkan mana-mana pihak.

"Saya tidak salahkan mereka kerana mungkin mereka tidak faham cerita sebenar. Bagi mereka yang tak faham, mereka akan nampak saya yang salah.

"Saya tak ambil hati dengan kenyataan mereka kerana mungkin kurang pemahaman ataupun mereka menilai dari sudut berbeza.

"Saya tidak mahu keruhkan keadaan lagi dengan membuka aib sesiapa. Jadi, saya akan ambil pendekatan untuk jernihkan keadaan ini," katanya yang ingin berjumpa dengan isteri Mr R untuk berbincang tanpa melibatkan orang luar.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment