Sunday 9 March 2014

20 pekerja Freescale Semiconductor antara penumpang pesawat MH370


KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 pekerja Freescale Semiconductor merupakan antara penumpang pesawat MH370 Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang dilapor hilang di Laut China Selatan awal pagi semalam.

Dalam satu kenyataan di sini, syarikat yang berpangkalan di Austin, Texas, Amerika Syarikat itu berkata pekerjanya terdiri daripada 12 warga Malaysia dan lapan dari China.

Menurut syarikat, seluruh komuniti Freescale Semiconductor sedih dengan kejadian berkenaan dan akan terus memantau situasi serta memaklumkan sebarang perkembangan apabila memperolehnya.

"Pada masa ini, kami memberi tumpuan kepada pekerja kami dan anggota keluarga mereka," kata Presiden dan Ketua Pegawai Esekutif Freescale Gregg Lowe dalam kenyataan itu.

"Doa kami untuk semua yang terlibat dalam kejadian tragik ini."

Menurut kenyataan itu, syarikat telah meminta kaunselor dan profesional lain melalui Program Bantuan Pekerja Freescale, memberikan sokongan sepanjang masa kepada mereka yang terbabit dalam tragedi ini.

Penerbangan MH370 itu membawa 227 penumpang termasuk dua bayi selain 12 anak kapal, dilapor hilang ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing pada awal pagi Sabtu.

Operasi mencari dan menyelamat kini dijalankan meliputi Laut China Selatan melibatkan agensi menyelamat dari Malaysia, Vietnam, Filipina, Singapura dan China.

Bernama

No comments:

Post a Comment