Monday 24 February 2014

Telaga tiub atasi masalah petani di musim kemarau

Ismail Sabri
Ismail Sabri


PENDANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membina telaga tiub sebagai penyelesaian kepada masalah pengairan yang dihadapi segelintir petani di beberapa kawasan di Kedah setiap kali tiba musim kemarau.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata telaga tiub yang menggunakan kaedah menyedut air daripada bawah tanah adalah langkah terbaik dan boleh dibina segera untuk menyalirkan air ke kawasan sawah setiap kali tiba musim kering.

"Saya dah maklumkan kepada BPSP (Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian) supaya buat kajian mengenai telaga tiub ini. Ia boleh menyedut air bawah tanah waktu musim biasa atau kemarau, sepanjang tahun," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang ehsan kepada petani yang terjejas akibat kemarau di Kampung Bendang Raja, Kubur Panjang dekat sini hari ini.

Beliau berkata bagi kampung tersebut yang kawasan sawahnya terjejas teruk hingga menyebabkan petani hilang pendapatan musim ini, kajian segera akan dijalankan untuk mengetahui sama ada tanah di kawasan itu sesuai atau tidak dibina telaga tiub.

"Untuk (penyelesaian) jangka panjang yang lebih baik ialah membawa air daripada Sungai Padang Terap, 25 km daripada sini melalui paip dan sebagainya dan disalirkan ke Sungai Lampam (untuk disalirkan ke sawah).

"Tapi projek ini memerlukan belanja besar, mungkin mencecah RM100 juta dan perlu dapat kelulusan, untuk cepat ialah telaga tiub. Kalau ada (sumber air bawah tanah) boleh bina segera, yang lain perlukan paip dan sebagainya dan perlu jangka masa panjang," kata Ismail Sabri. 

Sementara itu, beliau berkata pihak kementerian juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas menangani bencana baru-baru ini untuk mendapatkan laporan berkaitan isu berkenaan dari kawasan-kawasan lain.

"Sekarang hanya dapat laporan di Kedah, mungkin lepas ini di Melaka dan sebagainya. Kemungkinan kawasan lain tak timbul isu ini (terjejas akibat kemarau) sebab dah selesai menuai," katanya. 

Terdahulu pada majlis itu, Ismail Sabri menyampaikan sumbangan bernilai lebih RM2.393 juta kepada 1,570 pesawah yang kehilangan punca pendapatan akibat kemarau pada musim ini.

Setiap petani menerima RM1,400 bagi setiap hektar sawah mereka yang rosak akibat kemarau berpunca daripada perubahan iklim tidak menentu iaitu negara berada pada fasa pertengahan monsun timur laut. 

Lembaga Pertubuhan Peladang Kedah telah mengenal pasti kawasan sawah seluas 1,661.84 hektar yang terjejas, membabitkan 42 kawasan di bawah pengendalian 10 Pertubuhan Peladang Kawasan. - Bernama

No comments:

Post a Comment