Monday 24 February 2014

Muhyiddin: Tiada arahan tukar guru tentang PBS

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

KAJANG - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi menukar mana-mana guru yang menentang pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau dan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah mempunyai niat untuk menganiayai mana-mana guru, termasuk mereka yang berada dalam Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

"Saya nak nyatakan bahawa saya tak memberi apa-apa arahan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana guru termasuk mereka yang di dalam Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

"Saya telah buat keputusan berhubung pendirian KPM untuk tangani masalah PBS iaitu menangguhkan pelaksanaannya bagi memberi ruang kepada satu kajian bagi penambahbaikan diadakan," katanya dalam sidang media di Surau Al-Falah Kampung Bukit Dukung, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada keputusan menukarkan Mohd Nor Izzat Mohd Johari yang bertindak sebagai ketua jawatankuasa SGMM akan ditarik balik selepas kerajaan menangguhkan sementara pelaksanaan PBS. 

Muhyiddin berkata perkara itu mungkin berlaku melibatkan peringkat pentadbiran daerah dan beliau tidak mengetahui sama ada tindakan itu dibuat atas fakta-fakta lain atau hanya atas sebab guru berkenaan menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai PBS.

"Kita tak nak menganiayai sesiapa, kita bersikap adil dan tidak mahu dilihat zalim. Guru bukan tidak boleh bersuara...boleh, tapi dengan cara mengikut prosedur bersesuaian berdasarkan pekeliling," katanya.

Beliau berkata selepas pelaksanaan PBS ditangguhkan, perkara penting yang perlu dilakukan ialah kementerian akan melakukan yang terbaik bagi mencari satu kaedah yang mampu memberi keadaan lebih baik kepada semua pihak jika dilaksanakan kelak.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dilaporkan berkata guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Menurut Khair, pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan. 

- Bernama

No comments:

Post a Comment