Monday 24 February 2014

Larang ahli politik Semenanjung demi keharmonian

Prof Dr Jayum Jawan
Prof Dr Jayum Jawan


SHAH ALAM – Larangan memasuki Sarawak yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin politik dari Semenanjung Malaysia itu adalah wajar bagi mengekang penyebaran idea yang tidak relevan yang boleh menjejaskan keharmonian dan kebudayaan negeri tersebut.

Timbalan Ketua Kluster Jawatankuasa Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan berkata, tindakan tersebut bukan sahaja dikenakan terhadap pemimpin pembangkang bahkan pemimpin lain dari Barisan Nasional juga menerima nasib sama jika idea mereka boleh memberi ancaman kepada Sarawak.

“Ia tindakan wajar, ahli politik Semenanjung biasa tidak faham isu ini. Bukan sahaja beliau (Mazlan Aliman), bahkan ramai lagi ahli politik Semenanjung dari Pas, DAP, MCA, MIC, Umno dan PKR patut dihalang daripada masuk Sarawak supaya mereka tidak menyebarkan idea tidak relevan mereka kepada Sarawak.

“Mereka khuatir idea buruk dari Semenanjung menular ke Sarawak, sekaligus menggugat keharmanion kaum yang sedia terjalin baik dan mesra di sana,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Mengulas lanjut, Jayum menegaskan kuasa untuk membenar atau menghalang kemasukan ke Sarawak itu merupakan hak yang tidak boleh dipertikaikan dan kerajaan negeri itu tidak perlu memberikan penjelasan terhadap larangan kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan pihak berkuasa imigresen Sarawak yang menghalang Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman daripada memasuki negeri itu semalam.

Mazlan dalam akaun Facebooknya semalam mendakwa perintah larangan tersebut dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Katanya, beliau ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 11.25 pagi semalam.


Mazlan mendakwa larangan tersebut mempunyai kaitan dengan perhimpunan Sarawak mengenai hak-hak tanah yang dirasmikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Beting Maro, hari ini.

Larangan terhadap Mazlan itu merupakan kali kedua dan kali pertama beliau dilarang memasuki ke Sarawak ialah pada 6 Julai 2011 di Lapangan Terbang Miri.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment