Monday 24 February 2014

Saya tidak akan maafkan pembunuh ayah

Saya tidak akan maafkan pembunuh ayah
Anggota polis mengangkat jenazah untuk dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, malam kelmarin.


SEREMBAN - "Saya tidak akan maafkan pembunuh ayah," kata Rohaizat Aris, anak sulung mangsa samun di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban – Tampin, berhampiran Taman Bukit Emas, di sini, malam kelmarin.

Aris Sulaiman, 64, juruwang di stesen minyak itu, ditikam di dada oleh seorang penjenayah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Saya nak penjenayah itu dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahannya," kata Rohaizat, 33.

Dalam kejadian kira-kira 8.50 malam itu, Aris yang bekerja di kaunter kedai serbaneka di stesen minyak berkenaan sejak 2009, meninggal dunia selepas ditikam tidak kurang tiga kali di dada.

Rohaizat berkata, dia tinggal di Muar, Johor dan menerima panggilan daripada ahli keluarga yang memaklumkan bapanya meninggal dunia di tempat kerja.

“Sejurus sampai rumah, baru saya tahu ayah mati ditikam. Luluh hati saya mendengarnya,” katanya di pekarangan bilik mayat di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, semalam.

Rohaizat berkata, dia tidak menyangka bapanya akan pergi meninggalkan ibu bersama tiga adik beradik yang lain dalam keadaan menyayat hati.

“Ayah seorang yang baik hati dan tidak mempunyai musuh. Saya harap polis dapat menangkap suspek dan segera dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Rohaizat. seorang juruteknik berkata, dia bertemu bapanya itu sehari sebelum kejadian.

“Saya, isteri dan adik-beradik membawa ibu dan ayah makan malam di luar Jumaat lalu.

“Ketika mahu keluar rumah, ayah secara tiba-tiba mahu menaiki kereta saya dan duduk di tempat duduk penumpang hadapan.

“Sebelum ini ayah akan menaiki keretanya sendiri tetapi pada malam itu, dia mahu menumpang kereta saya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, ketika kejadian, kedai serbaneka di stesen minyak berkenaan didatangi seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang memakai topi keledar dan berjaket.

“Suspek memasuki kedai dengan berpura-pura mahu membeli minuman. Ketika mahu membuat pembayaran, suspek kemudian mengeluarkan pisau dan terus menikam mangsa.

“Suspek kemudian mengambil wang tunai sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru yang diletakkan di kawasan stesen minyak tersebut,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, tiada pelanggan berada di dalam kedai serbaneka, namun terdapat seorang pekerja dan dua pelanggan di kawasan stesen minyak.

“Pekerja dan pelanggan yang menyaksikan kejadian itu cuba mengejar suspek namun gagal. Suspek sangat licik berikutan kejadian berlaku dalam tempoh seminit sahaja,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, polis kini akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti suspek.

“Pisau yang digunakan suspek turut ditemui di lokasi kejadian. Jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Difahamkan, mangsa yang merupakan pesara tentera tinggal di Taman Sri Kasih, Senawang. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, di sini selepas solat Zuhur, semalam.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment