Wednesday 26 February 2014

Pahang antara negeri popular di Singapura

SINGAPURA - Pahang tersenarai antara lima negeri di Malaysia yang paling mendapat tempat di hati pelancong Singapura berikutan promosi berkesan yang digerakkan pelbagai agensi pelancongan di Pahang.

Pengarah Tourism Malaysia di Singapura, Noor Aine Ismail berkata agensi pelancongan seperti Badan Pelancongan Negeri Pahang, Tourism Malaysia Pahang dan wakil pelancongan negara di seberang laut banyak memainkan peranan memperkenalkan negeri itu kepada rakyat Singapura.

Sehubungan itu, beliau meminta program memperkenalkan produk pelancongan Pahang oleh kerajaan negeri Pahang dan agensi pelancongan di bawahnya ke luar negara perlu kerap diadakan bagi menarik lebih ramai pelancong.

"Sebelum ini produk pelancongan negeri di pantai timur mengalami sedikit kelesuan namun kini kita dapat lihat secara perlahan-lahan peningkatan populariti negeri seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan selepas program pengenalan produk giat dilakukan oleh setiap kerajaan negeri.

"Selain Pahang, empat negeri lain yang mendapat sambutan di kalangan rakyat Singapura ialah Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor," katanya kepada pemberita di majlis perasmian pengenalan produk Pahang di Singapura yang dirasmikan Pengurus Besar Badan Pelancongan Negeri Pahang, Ishak Mokhtar di sini hari ini. 

Noor Aine berkata faktor peningkatan populariti produk negeri Pahang turut disokong oleh kenaikan nilai mata wang republik itu yang mendorong ejen pelancongan kedua-dua buah negara bergerak lebih aktif dari aspek promosi.

Beliau turut mengingatkan penggiat industri pelancongan negara supaya bergerak lebih proaktif dengan tidak hanya menjadikan Singapura sebagai rakan promosi malah menyarankan hubungan dua hala pelancongan diperluas ke negara-negara lain.

"Sebagai wakil pelancongan negara, kita di sini menyusun jadual untuk beberapa acara besar bagi memantapkan lagi promosi pelancongan negara antaranya Ekspo Makanan Malaysia yang bakal diadakan pada Jun nanti di Singapura dengan tema utamanya memperkenalkan menu masakan laksa dari setiap negeri di Malaysia," katanya.

Menurut beliau dua lagi acara yang akan diadakan dalam waktu terdekat ini ialah Pesta Pelancongan Malaysia dan Pesta Kebudayaan Malaysia yang dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. - Bernama

No comments:

Post a Comment