Wednesday 26 February 2014

Kerajaan pusat, Selangor meterai janji penstrukturan industri air


PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutan dan kerajaan negeri Selangor akhirnya mencapai kata sepakat berhubung penyelesaian isu air yang membelenggu penduduk di negeri itu.

Ia dicapai selepas kedua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman, MOU bagi menyelesaikan isu berkenaan.

MOU ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

"MOU membolehkan kerajaan Selangor melaksanakan penstrukturan semula industri bekalan air di Negeri itu bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan bekalan air di Selangor dan mengambilkira bekalan air yang lebih mampan di Kuala lumpur dan Putrajaya, katanya semasa sidang media bersama Menteri Besar Selangor di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. 

MOU itu juga memastikan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan, LRAL2 dapat diteruskan bagi menjamin bekalan air berterusan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Kerajaan Persekutuan juga membenarkan kerajaan negeri Selangor untuk mengemukakan tawaran kepada syarikat konsesi air iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd, PNSB, Syarikat Bekalan Air Selangor, SYABAS, Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd, SPLASH, dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd, ABBAS," katanya.

"Kerajaan bersedia untuk menyuntik dana tambahan untuk membantu kerajaan negeri Selangor mengambil alih syarikat konsesi air dan seterusnya menguruskan perkhidmatan bekalan air di negeri itu melalui suatu syarikat milik kerajaan negeri," ujarnya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan persekutuan bersetuju menjadi pemudah cara bagi kerajaan Selangor melaksanakan penstrukturan semula industri air melalui Akta Perkhidmatan Industri Air 2006, WSIA dan mana-mana undang-undang terpakai.

"Sebagai balasan, kerajaan negeri Selangor pula akan mengeluarkan kebenaran merancang untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem agihannya berkuatkuasa hari ini dan memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkaitan pembangunan projek itu diluluskan dalam masa 30 hari dari tarikh MOU ini ditandatangani," tambahnya.

Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai wakil kerajaan Selangor bagi pelaksanaan Projek Langat 2.

"Kita sudah 6 tahun bekerja untuk perkara ini, ini semua untuk rakyat dan itulah penyelesaian begitu cepat kerana keterbukaan untuk rakyat," kata beliau.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keempat-empat syarikat konsesi air itu akan diambilalih kerajaan negeri dan diletakkan dibawah satu anak syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd.

"Syarikat Darul Ehsan akan menawarkan RM9.65 bilion sebagai pampasan kepada penyusunan semula tersebut,"ujar beliau.

Katanya, daripada jumlah pampasan itu, RM1.97 bilion adalah pembayaran kepada ekuiti-ekuiti yang dimiliki oleh syarikat konsesi berkenaan, dan selebihnya adalah pinjaman dan bon yang ada dalam syarikat konsesi itu yang akan diambilalih oleh pengurusan aset air negara.

Tambahnya, kerajaan persekutuan telah bersetuju melalui MOU untuk memberikan RM2 bilion kepada kerajaan negeri Selangor untuk melunaskan pembayaran ekuiti berkenaan.

"Kerajaan persekutuan juga bersetuju memperuntukkan RM900 juta untuk menentukan program mitigasi air dilaksanakan, jadi peruntukan kewangan sudah ada dan harap pelaksanaan dapat dijalankan segera untuk beri peluang untuk Kumpulan Darul Ehsan melaksanakannya," ujar beliau.

Dalam masa enam bulan juga, kerajaan negeri Selangor juga akan memberitahu pengguna mengenai peratus air yang terawat yang terlupus.

"Buat masa sekarang jagaan SYABAS ialah 33 peratus, maknanya daripada 100 peratus, 33 peratus air terawat tersebut tidak dapat digunakan sebab tu tanggungjawab penyusunan semula ini akan menentukan peratus air yang terawat yang terlupus diturunkan daripada 33 peratus kepada 20 peratus,"katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri akan membina kolam takungan air yang mampu menambah keperluan air mentah melebihi 600 juta liter sehari di Bestari Jaya sebagai langkah awal sebelum Projek Loji Rawatan Air Langat 2 siap sepenuhnya kelak.

"Kita cadangkan supaya bersama dengan Langat 2, projek itu akan diteruskan kelak," tambahnya.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment