Wednesday 26 February 2014

160 sertai Festival Wau Antarabangsa Kedah

 Festival Wau Antarabangsa
Seorang peserta petunjukan Wau Antarabangsa, Kasmin Jabar,70, menaikkan wau tradisional bercorak Jalur Gemilang sempena Festival Kebudayaan dan Wau Antarabangsa Negeri Kedah di Taman Peringatan Jubli Emas, Suka Menanti di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama


ALOR SETAR - Sebanyak 160 peserta dari 38 negara menyertai Festival Wau Antarabangsa Kedah yang berlangsung tiga hari bermula hari ini di Taman Peringatan Jubli Emas di sini.

Timbalan Pengerusi penganjur festival tersebut Datuk Nasir Mustafa berkata festival tersebut yang diadakan bersempena Festival Kebudayaan dan Wau Antarabangsa Kedah mendapat sambutan peserta antaranya dari Jepun, Thailand, China dan England.

Katanya festival wau itu memberi peluang kepada masyarakat di Kedah dan negeri sekitarnya menyaksikan keunikan pelbagai bentuk wau dari negara luar.

"Pada waktu malam pula pengunjung dapat melihat wau bercahaya yang diterbangkan oleh peserta," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Peringatan Jubli Emas hari ini.

Festival Kebudayaan dan Wau Antarabangsa Kedah itu dianjurkan bersama Kerajaan Kedah dan Majlis Kebudayaan Negeri Kedah.

Nasir yang juga Timbalan Presiden Majlis Kebudayaan Kedah berkata penganjuran festival tersebut juga dapat mengembalikan kegemilangan negeri ini dalam menganjurkan festival wau seperti itu yang pernah diadakan pada 1950-an hingga 90-an sebelum ia terhenti begitu sahaja. 

Katanya pihaknya akan menjadikan festival tersebut sebagai acara tahunan di mana negeri ini akan menjadi destinasi persinggahan peserta wau selepas menyertai festival di Pasir Gudang, Johor sebelum ke Satun, Thailand. 

Beliau berkata pada masa depan pihaknya akan mengetengahkan lagi pelbagai jenis wau tempatan seperti wau bulan, kucing dan jala budi untuk tatapan masyarakat.

Selain itu, katanya peserta antarabangsa juga berpeluang menyaksikan kebudayaan masyarakat negeri ini seperti tarian dan makanan yang akan dipamerkan sepanjang festival itu berlangsung sekali gus dapat mempromosikan Kedah. 

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai semakin memenuhi tapak festival itu pada sebelah petang untuk melihat sendiri keunikan dan keistimewaan wau yang dipamerkan.

Antara yang menarik perhatian adalah wau tradisional, bentuk haiwan, karakter kartun dan personaliti tertentu. - Bernama

No comments:

Post a Comment