Friday 7 February 2014

Lelaki dipercayai aktif lakukan jenayah pecah rumah di Serdang diberkas


SERDANG: Empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan siri jenayah pecah rumah di sekitar kawasan Serdang dan Seri Kembangan kebelakangan ini berjaya diberkas polis.

Penangkapan suspek yang berusia antara 21 hingga 50 tahun itu dilakukan di sebuah hotel di Melaka hasil maklumat dan risikan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. 

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Abd Razak Elias ketika memberitahu penangkapan suspek dilakukan selepas empat hari mereka dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan.


TEMUI: Polis menemui semula barangan yang dicuri bernilai kira-kira RM200,000. (Gambar: IPD Serdang)
“Kita berjaya menemui serta merampas tiga buah kereta tiga buah kereta, alatan pecah rumah, sejumlah mata wang asing pelbagai nilai, buku cek, sebilah parang panjang, sepasang baju uniform lengkap warna biru polis dan barangan curi yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM200,000,” katanya kepada pemberita.

Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai jenis jenayah dan sangat dikehendaki oleh polis.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Dalam satu kes yang berasingan pula, seorang warganegara asing ditangkap oleh polis semalam kerana terlibat dengan kegiatan memecah pintu loker di bilik persalinan di salah sebuah kelab golf di Serdang.

“Suspek dipercayai telah beberapa kali melakukan kegiatan memecah loker termasuk yang terbaru melibatkan seorang mangsa yang bergelar ‘Datuk’,” kata Abd Razak.

‘Modus operandi’ yang digunakan oleh suspek ialah dengan berpura-pura menyamar sebagai pelanggan di kelab golf tersebut.

Suspek kemudian akan cuba masuk ke bilik persalinan dan mengambil kesempatan dengan memecah pintu loker sebelum melarikan barangan berharga milik pemain golf di kelab tersebut.

Jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM2,000 dan suspek juga pernah ditahan atas kesalahan dadah.  

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment