Friday 7 February 2014

Bekas penyanyi kumpulan 'Tiga' tukar pengakuan tidak bersalah tuduhan menipu


AMPANG: Bekas anggota kumpulan R&B, Kumpulan Tiga, Mohd Qhairol Iqhssan Yusof menukar pengakuan kepada tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan menipu bernilai RM196,400 yang melibatkan tujuh individu pada tahun lepas.

Penyanyi yang berusia 28 tahun itu memberi pengakuan tersebut apabila kesemua pertuduhannya itu dibaca secara berasingan di hadapan tiga majistret iaitu Noor Farah Hazwani Osman, Zulyana Zollkapli dan Ayuni Izzaty Sulaiman.

Mohd Qhairol yang berasal dari Sandakan Sabah sebelum ini pada 29 Januari lalu telah mengaku bersalah di hadapan Majistret Ayuni Izzaty terhadap tujuh daripada sembilan tuduhan menipu sembilan individu yang melibatkan wang berjumlah RM235,400.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh hari ini sebagai sebutan semula bagi mendengar fakta kes.

Melalui pertuduhan yang dibacakan, Mohd Qhairol yang juga ketika itu adalah seorang pegawai bank didakwa terhadap lima dakwaan menipu Maya Haryanto, 21, Afiq Adham Mustamin, 28, Nur Hidayah Mohd Yusof, 30, Mohammad Faizal Ahmad, 33, dan Mohd Afendy Izani Arizal, 35, sehingga menyebabkan mereka menyerahkan wang berjumlah RM166,200 sebagai bayaran pendahuluan pinjaman perumahan.

Selain itu juga, tertuduh didakwa dengan dua tuduhan menipu Nazim Mustapah, 28, dan Rosli Ahmad, 41, dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa dia merupakan wakil AmBank yang mengurus dan meluluskan permohonan pinjaman perumahan mereka sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM47,950 kepada tertuduh.

Penyanyi tersebut pernah muncul dengan single pertama berjudul ‘Pengakuan’ turut dituduh menipu Mohd Firdaus Satir@Satar, 29, dan Hairul Faizal Mohd Siraj, 32, sehingga mendorong kedua-dua mangsa menyerahkan masing-masing wang berjumlah RM8,750 dan RM12,500 kepadanya.

Kesemua wang yang diserah kepada tertuduh itu dikatakan sebagai bayaran yuran guaman dan untuk bayaran penyelesaian penuh pinjaman peribadi.

Kesalahan didakwa dilakukan di AmBank Bhd Cawangan Bandar Baru Ampang, No.5G & 7G, Jalan Wawasan Ampang 2/10, Bandar Baru Ampang antara 31 Mei hingga 30 Sept, tahun lepas dan dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya S.Purnima memaklumkan kepada mahkamah peguam S. Parvin telah menarik diri daripada mewakili Mohd Qhairol dan perkara itu diakui peguam terbabit yang turut hadir pada prosiding hari ini.

Mahkamah menetapkan 31 Mac untuk sebutan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam baharu selain mengekalkan wang jaminan RM171,000 yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini.

Astro Awani 

1 comment: