Thursday 30 January 2014

Tahun 'Kuda Air' lebih mencabar!

Tahun 'Kuda Air' lebih mencabar!

MENGIKUT perhitungan kalendar Cina, 2014 adalah tahun kuda air yang membawa pengertian tersirat seperti kerja keras dan jujur.

Walaupun ada yang mengatakan, elemen air dikaitkan dengan perjalanan hidup lebih mudah seperti air yang mengalir, namun ianya berbeza dengan pengertian penerbit prolifik, Mejar (K) David Teo.

Mengakui tahun lalu sebagai tahun ular yang penuh berliku, penerbit berbangsa Cina Hokkein, ini menerapkan sikap berhati-hati dalam menempuh cabaran di tahun ini.

Menurut David, walaupun kuda memberi pengertian seperti pantas, bersemangat, penuh harapan dan rajin, air pula menjadikan kuda tewas dalam perlumbaan. "Tahun 2013 menyaksikan banyak pelaburan saya tidak menjadi. Mengikut kepercayaan kami, tahun ular sememangnya sukar untuk menjalani perniagaan.


"Ular dah pergi dan kuda air mari, di mana ia kemungkinan lebih baik daripada tahun lalu kerana berpaksikan kuda.


"Namun, saya perlu berhati-hati dalam semua aspek kerana kuda tidak dapat berlumba dengan baik di dalam air.

Walaupun nampak mudah, namun ia penuh dengan halangan dan cabaran," katanya lagi.Tambah David, tahun ini juga dikatakan tidak sesuai untuk memulakan perniagaan baharu.

"Setiap hari, mata wang juga turut menunjukkan penurunan dan kos untuk perniagaan juga semakin meningkat," jelasnya.


Berkumpul di Pekan Jabi 

Menjadi tradisi setiap kali perayaan, David memberitahu, lokasi itu tidak akan berubah sejak dahulu sehingga kini. Menurut bapa kepada Ruby, 21, Jason (20), Jackhu (13) dan Jehan (8), ini mereka sekeluarga pulang ke kampung halaman pada sehari sebelum perayaan (hari ini).

"Sebenarnya, sejak dua tahun lalu, bapa saya berada di bawah jagaan saya kerana tahap kesihatannya yang tidak menentu.

"Hari ini, kami akan balik bersama ke Pekan Jabi, Segamat, untuk meraikan perayaan bersama seluruh ahli keluarga. "Setiap kali musim perayaan, isteri saya, Jane Lim, akan menyediakan hidangan makan besar kami sekeluarga," katanya.

Jelas David, sejak ketiadaan ibunya hampir 22 tahun lalu, Jane yang bertanggungjawab dalam penyediaan hidangan tersebut. "Makanan wajib yang mesti ada pada setiap tahun adalah yong tau foo, bebola daging, gamat daging sirip ikan basah, sayur masin, potongan ayam dan itik serta sup.

"Kami kurang gemar nasi kerana makanan itu sudah mampu membuat kami semua kekenyangan. Malam ini, memang isteri saya yang akan masak semuanya kerana dia menggantikan posisi ibu.

"Secara tidak langsung, rasa rindu pada masakan ibu akan terubat dengan hidangan itu kerana ia adalah resipi yang isteri saya pelajari dari ibu sebelum ini," katanya.

Menurut David, bapa mertuanya merupakan chef yang ditugaskan untuk menyediakan makanan bagi pekerja kayu balak di hutan.

"Jane memang pandai memasak dan kepakaran itu diwarisi daripada bapanya. Jadi, soal masak memasak ini bukanlah satu masalah baginya.

"Walaupun rasa hidangan Jane tidak 100 peratus sama seperti ibu, namun ia sudah cukup untuk saya.

"Lagipun, cita rasa kami lebih kurang sama kerana masing-masing berketurunan Hokkein," ujarnya lagi.


Jamu tetamu Melayu

Jika waktu makan besar diperuntukkan untuk ahli keluarga, keesokannya pula adalah giliran bersama tetamu yang terdiri daripada sahabat dan jiran tetangga.

David memberitahu, setiap tahun, rumahnya itu akan dipenuhi dengan tetamu berbangsa Melayu.

"Sebenarnya, kami dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Bapa saya dahulu kontraktor rumah kecil-kecilan dan pelanggannya pula kebanyakannya dalam kalangan orang Melayu.

"Kawan-kawan bapa saya pula akan membawa anak, isteri dan cucu untuk beraya di rumah kami. Tetapi, kami tidak hidangkan ketupat atau rendang.

"Hanya ada makanan ringan seperti air laici, air bunga, minuman berkarbonat, kuaci, kacang, baulu dan kuih bakul. Ia amat menggembirakan kami sekeluarga," katanya.


Sambutan sederhana

Walaupun tahun lalu merupakan tahun yang paling suram buat syarikat penerbitan, Metrowealth International Group (MIG), namun tokoh seni ini tidak pernah lupa dalam meraikan kakitangan, sahabat serta media.

Baru-baru ini, bertempat di N'Dah Catering & Services, David turut mengadakan majlis sambutan Tahun Baharu Cina.

Sudah menjadi acara tahunan MIG, majlis itu dihadiri lebih 200 tetamu yang terdiri daripada artis residen, kakitangan, sahabat David dan media.

Menurut David, dia masih berpegang kepada konsep 'kongsi rezeki' dan majlis itu merupakan penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam kerja seninya sepanjang tahun.

"Saya akui, tahun ini, kutipan diterima sangat merudum berbanding tahun lalu. Namun, saya berbangga dengan kejayaan yang dikecapi selama ini.

"Walaupun majlis ini diadakan dalam suasana yang sederhana, namun saya berterima kasih dengan semua yang hadir kerana dapat memanfaatkan detik ini bersama dalam gelak ketawa.

"Belajar dari pengalaman lalu dan saya yakin, 2014 akan berjalan dengan lebih lancar memandangkan beberapa aspek diambil kira. Selain itu, kami perlu berjimat cermat dalam segala perbelanjaan," jelasnya lagi.

Majlis yang bertemakan putih merah itu turut dihadiri artis naungan MIG termasuk Yana Samsudin, Shaheizy Sam, Nora Danish, Intan Ladyana, Pierre Andre, Diana Amir, Zalif Sidek, Azwan Kombos, Mikail Andre, Nina Iskandar, dan Shima Anuar.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment