Thursday 30 January 2014

"Saya tidak akan tunduk pada cabaran PKR" - Najib


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan tunduk kepada cabaran PKR agar beliau bertanding menentang ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N-25 Kajang.

Najib menegaskan beliau tidak mahu dirinya diheret ke dalam isu berkenaan yang berpunca dari konflik dalaman PKR sendiri.

Tegas Najib, timbalan presiden PKR, Azmin Ali tidak sepatutnya cuba mengalihkan kemarahan pengundi dengan mencabar beliau bertanding di Kajang.

"Dia nak adakan pilihan raya kecil ini kerana nak menyelesaikan masalah kemelut yang agak serius dalam PKR, jadi pada saya ia membebankan rakyat, bebankan pengundi di Kajang yang rata-rata tidak senang hati dengan terpaksa mengadakan pilihan raya.

“Kalau kita tengok reaksi banyak negatif daripada positif… jadi itu masalah dia, jadi pesanan saya ialah jangan heret saya ke dalam masalah dalaman kamu,” katanya tegas.

Najib berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Putrajaya.

Azmin pada Rabu mencabar Barisan Nasional (BN) agar mencalonkan Najib untuk menentang Anwar pada PRK N-25 kajang.

Katanya, Najib merupakan calon yang paling sesuai kerana kredibiliti dan ketokohan beliau.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan keputusan sama ada BN akan bertanding atau tidak dan siapakah calon yang paling sesuai akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN.

Mesyuarat itu katanya akan diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh PRK itu diadakan.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment