Thursday 30 January 2014

Musnahkan ketum!

Azlan melihat pokok ketum berhampiran sebuah rumah yang dilawatinya. - Foto Sinar Harian


PERLIS - Menteri Besar Perlis, Azlan Man kecewa sikap segelintir penduduk di negeri ini yang giat menanam pokok ketum sebagai pendapatan sampingan.

Tegas Azlan, beliau tidak mahu Perlis nanti terkenal sebagai negeri `pengeksport’ ketum berikutan sudah terdapat banyak laporan berita di media cetak dan media elektronik mengenai aktiviti penyeludupan daun ketum di kawasan bersempadan Perlis dengan wilayah selatan Thailand.

“Saya menasihati penduduk di negeri ini terutama di kawasan luar bandar supaya tidak menjadikan tanaman ketum atau biak sebagai sumber pendapatan keluarga masing-masing kerana air ketum yang telah bercampur aduk dengan bahan lain termasuk serbuk mentol lampu atau ubat nyamuk berbahaya kepada mereka yang meminumnya.

“Sebagai orang Islam, kita tidak wajar meminum air ketum atau biak yang telah pun diharamkan di negeri ini kerana ia lebih ke arah keburukan dan menjejaskan kehidupan hingga ke tahap menjadi ketagih," katanya.

Azlan berkata demikian selepas melawat rumah beberapa penduduk yang memerlukan bantuan di kampung Jawi Seratus, Sungai Padang Sanglang, kelmarin.

Pada lawatan tersebut, beliau ternampak pokok ketum berhampiran salah sebuah rumah yang dilawatinya.

Katanya, masih banyak lagi cara lain untuk menambah pendapatan keluarga selain pokok ketum seperti mengusahakan sayur-sayuran di tanah terbiar di sekeliling rumah untuk dijual selain untuk keperluan keluarga sendiri.

Turut sama ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Senator Mohd Khalid Ahmad, Pegawai Baitulmal kawasan Parlimen Arau, Mohamad Radzi, Pegawai Khas (Kebajikan) Menteri Besar, Ariff Asmadi Ariffin dan Ketua Umno Cawangan Jawi Seratus, Rasul Raahimi.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment