Thursday 30 January 2014

27 murid keracunan makanan

KOTA TINGGI – Seramai 27 murid sekolah rendah dua sekolah di sini dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) pagi semalam dipercayai keracunan makanan selepas mengadu loya dan cirit birit.

Difahamkan, kesemua murid terbabit dirawat sebagai pesakit luar selepas dihantar menaiki kenderaan guru dan sebuah ambulan untuk mendapatkan rawatan di HKT.

Ibu murid terlibat, Siti Salimah Jumal,32, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya daripada jirannya yang turut mempunyai anak yang bersekolah di kelas yang sama.

Katanya, dia mendapat panggilan daripada sekolah jam 9 pagi, bagaimanapun tidak sempat menjawab kerana bekerja.

“Pagi tadi (semalam), sebelum ke sekolah, anak beritahu sakit perut, namun saya hanya menganggap biasa kerana setiap pagi memang dia akan selalu buang air sebelum ke sekolah.

“Saya terkejut apabila jiran hubungi beritahu anaknya dan juga anak saya berada di hospital kerana keracunan makanan.

“Saya juga pelik kerana petang semalam kami tidak keluar makan di mana-mana, namun anak beritahu petang semalam dia ada makan makanan yang dibekalkan sempena sambutan Maulidur Rasul,” katanya.

Sahabuddin Ngarip, 45, berkata, dia dihubungi pihak sekolah jam 10 pagi menyuruhnya mengambil anaknya yang berada di hospital.

Menurutnya, dia yang risau keselamatan anaknya terus bergegas ke hospital untuk menjemput anaknya.

“Ketika menerima panggilan daripada pihak sekolah, saya sedang bekerja. Mujurlah keadaannya tak teruk.

Salah seorang murid yang terlibat, Razlin Amira Rahizad,10, berkata, sebelum ke sekolah, dia ada rasa sakit perut.

Setibanya di sekolah ketika perhimpunan pagi, perutnya memulas.

“Melihat keadaan saya dan rakan lain yang berulang-alik ke tandas, guru bawa kami ke hospital,” katanya.

Aina Nabila, 11, pula berkata, dia mula sakit perut selepas makan nasi goreng ketika rehat jam 9 pagi semalam.

“Kira-kira jam 10 lebih, saya sakit perut. Melihat keadaan saya, cikgu suruh saya tunggu bersama rakan lain untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Pengarah HKT, Doktor Maslina Yusof berkata, seramai 27 murid dari dua sekolah dirawat HKT semalam.

Katanya, murid terbabit difahamkan menghadiri majlis Maulidur Rasul pada petang kelmarin, bagaimanapun mereka stabil dan hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment