Sunday 26 January 2014

Rakyat Malaysia selamat, tidak terlibat insiden letupan bom Mesir

--gambar fail

KUALA LUMPUR: Semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir dilaporkan selamat dan tidak terlibat dalam insiden letupan bom di Kaherah awal pagi Jumaat.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di ibu negara, Sabtu, menyatakan rakyat Malaysia telah dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan keselamatan yang dikemas kini dan diedarkan oleh pihak Kedutaan Besar dan pihak berkuasa tempatan.

Berikutan keadaan keselamatan tidak menentu dan suasana politik di Mesir masih bergolak, Wisma Putra mengulangi nasihat perjalanan yang dikeluarkan sebelum ini dengan menyeru rakyat Malaysia supaya menunda dan menjadualkan semula rancangan perjalanan mereka yang kurang penting ke Mesir.

Selain itu, Wisma Putra akan terus menyelaras dan berhubung dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah untuk memantau situasi berkenaan secara dekat.

Malaysia menyuarakan kekesalan terhadap kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden itu dan menggesa semua pihak supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk keganasan.

Tiga letupan bom menggegarkan Kaherah Jumaat menyebabkan sekurang-kurangnya lima terbunuh, ketika rakyat negara itu bersiap sedia memperingati ulang tahun ketiga kebangkitan rakyat pada 2011.
- Bernama

No comments:

Post a Comment