Sunday 26 January 2014

Pencuri hotel bersiri dicekup

Pencuri hotel bersiri dicekup
Dari kiri, Velumurugan, Samy, Arudas dan Kunalan menunjukkan laporan polis yang dibuat.


TANJUNG TOKONG - Pencuri bersiri di setiap hotel mewah sekitar kawasan pulau negeri ini akhirnya berjaya dicekup.

Lelaki yang juga pelancong asing dari Hungary itu dipercayai sebelum ini pernah mencuri di Hotel Rasa Sayang Resort dan Spa di Batu Feringghi dan G Hotel di Persiaran Gurney.

Dia yang berusia 61 tahun dipercayai melakukan kegiatan mencuri itu dengan menggunakan taktik memasuki hotel mewah menggunakan perkhidmatan gim dalam hotel berkenaan.

Lelaki yang dipercayai melancong secara bersendirian itu mempunyai kepakaran tersendiri kerana berjaya membuka almari yang menyimpan kunci tetamu hotel di bilik gim.

Pengurus Keselamatan Hotel E&O, B Kunalan berkata, lelaki yang sama memasuki E&O pada 14 Januari lalu namun tidak berjaya mencuri barangan tetamu hotel.

“Pihak kami awal-awal lagi menyedari kedatangan lelaki berkenaan kerana setiap badan keselamatan di antara hotel-hotel di sini mempunyai sistem red alert ataupun amaran awal yang mana sebarang maklumat mengenai kejadian jenayah di hotel akan dikongsi bersama.

“Setelah menyedari ada lelaki yang sama, jadi kami bergegas untuk menangkap lelaki berkenaan namun dia terlepas apabila menyedari kami sudah tahu,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Lelaki yang sama ditemui Kunalan bersama dengan dua lagi pengurus keselamatan dari Hotel Traders, Samy dan Hotel Cititel, N Velumurugan serta Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Arudas Rajoo.

Kunalan berkata, keempat-empat mereka menaiki kereta untuk menghadiri mesyuarat MAH di Batu Feringghi.

Namun ketika sampai di Pantai Miami pada kira-kira jam 1.45 petang, mereka ternampak lelaki yang sama sedang menaiki basikal.

“Kami terus menahannya, setelah diperiksa beg pelancong berkenaan didapati barangan yang dicuri termasuk kad kredit dan wang tunai milik tetamu hotel di Rasa Sayang dan G Hotel masih ada," katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment