Sunday 26 January 2014

Awas bahaya kencing tikus!

Perlu sedar bahaya kencing tikus
Kakitangan Jabatan Perhutanan mendengar taklimat bahaya kencing tikus dan demam malaria, semalam.


KUANTAN - Kakitangan Jabatan Perhutanan Pahang diingatkan menggunakan sarung tangan dan but ketika bertugas di 32 kawasan hutan lipur di negeri ini bagi mengelakkan jangkitan penyakit kencing tikus atau leptospirosis.

Timbalan pengarahnya, Norhaidi Yunus berkata, kakitangan yang bertugas di hutan termasuk di kawasan hutan lipur antara yang berisiko tinggi dan perlu sentiasa memberi perhatian terhadap kebersihan, langkah pencegahan perlu sentiasa diberi perhatian sepanjang berada di kawasan berisiko.

Menurutnya, kakitangan terutama yang bertugas di kawasan hutan lipur di negeri ini perlu sentiasa mengambil langkah pencegahan dengan menggunakan sarung tangan getah ketika melakukan aktiviti di tempat berkenaan.

“Selain itu, kerjasama pengunjung sentiasa diperlukan supaya sama-sama menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah dan sisa makanan merata-rata. Kita tidak ingin melihat kejadian penyakit kencing tikus yang menyerang Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran sebelum ini berlaku di tempat lain hingga menyebabkan kepada pelbagai masalah kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat bahayanya penyakit kencing tikus dan demam malaria oleh pegawai Pejabat Kesihatan Daerah yang disertai lebih 300 kakitangan Jabatan Perhutanan di Dewan Wisma Belia Indera Mahkota, di sini.

Norhaidi berkata, Unit Hutan Lipur Jabatan Perhutanan dan Pejabat Hutan Daerah sentiasa melakukan pemeriksaan di semua hutan lipur di negeri bagi memastikan tahap kebersihan selain menentukan kemudahan yang ada berada dalam keadaan baik.

Katanya, dengan jumlah kakitangan yang terhad Jabatan Perhutanan tidak mampu untuk melakukan kerja pembersihan secara harian, aktiviti memungut sampah hanya dilakukan secara berjadual.

“Saya bagi pihak Jabatan Perhutanan berharap pengunjung hutan lipur di negeri ini dapat memberi perhatian terhadap kebersihan, sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 pelancong pasti ramai berkunjung ke negara ini.

“Imej negara akan tercalar apabila tahap kebersihan di tempat tumpuan pelancong berada dalam keadaan tidak memuaskan,” katanya.

Bagi Zulkifli Abas, 53, program yang diadakan memberi peluang kepada kakitangan Jabatan Perhutanan memahami lebih mendalam terhadap bahaya serta langkah pencegahan penyakit kencing tikus.

“Sarung tangan getah perlu sentiasa digunakan ketika bertugas di kawasan berisiko seperti hutan lipur, kecuaian akan mengundang kepada jangkitan penyakit kencing tikus,” katanya. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment