Monday 20 January 2014

Poll: Harga kereta lebih murah dengan Dasar Automotif Negara?


Pelancaran Dasar Automotif Negara (DAN) terbaharu, Isnin, dijangka dapat memperkasakan industri automotif Malaysia yang dikatakan tidak berdaya saing.

Dasar yang ditunggu-tunggu pelancarannya, diharap dapat memberi satu hala tuju kepada industri automotif negara.

Dasar itu mula diperkenalkan pada tahun 2006 dengan harapan untuk menjadikan sektor automotif negara lebih berdaya saing. Ia kemudiannya dikaji semula pada tahun 2009.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia, Mohamad Madani Sahari yang sebelum ini ditemubual oleh Astro AWANI, berkata hala tuju industri automotif negara ketika ini sedang bergerak ke arah penggunaan teknologi hijau atau mesra alam, iaitu kenderaan lebih menjimatkan petrol dan mengurangkan pelepasan asap karbon.

Beliau menjangkakan bahawa dasar baharu itu akan berpaksi kepada inovatif ke hadapan dan akan ada teras yang melandaskan kepada teknologi dan kenderaan yang bertenaga efisien.

Katanya, perkara yang penting dalam dasar itu nanti ialah usaha menjadikan industri automotif lebih ‘hijau’ dan tidak boleh hanya memberikan tumpuan kepada kenderaan, atau produk, semata-mata.

Ini penting buat industri automotif negara bagi membantu sasaran kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020.

Selain itu, aspek lain seperti dasar pelupusan dan kebergantungan masyarakat terhadap kereta dijangka akan turut sama diberi perhatian dalam dasar baharu itu.

Persoalannya, adakah harga kereta akan bertambah murah dengan pelancaran dasar ini?

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment