Monday 20 January 2014

Kematian isteri menteri India cetus spekulasi

Isteri menteri India ditemui mati di hotel
Saat Bahagia.. Sunanda (kiri) ketika bersama suaminya, Shashi. - Foto dipetik daripada BBC


NEW DELHI – INDIA . Media India terus membuat pelbagai spekulasi tentang punca kematian isteri seorang menteri India pada Jumaat, kebanyakannya membayangkan kemungkinan akibat penggunaan dadah dalam dos berlebihan dan bunuh diri.

Sepasukan tiga doktor, yang melakukan badah siasat terhadap mayat Sunanda Pushkar pada Sabtu, mengisytiharkan dalam laporan awal mereka bahawa wanita itu 'mati mengejut dan secara di luar tabii', serta menolak kemungkinan keracunan atau kecederaan sebagai puncanya.

Laporan lengkap mengenainya dijangka siap beberapa hari lagi, lapor The Times of India.

Sunanda, 52, isteri Menteri Pembangunan Sumber Manusia Shashi Tharoor, ditemui mati kira-kira 8.30 malam (waktu India) di sebuah bilik hotel di New Delhi dua hari lepas.

Bedah siasat terhadap mayatnya dibuat di All India Institutes of Medical Sciences (AIIMS).

Hasil bedah siasat membayangkan kematian Sunanda adalah akibat pengambilan dadah dalam dos berlebihan, yang besar kemungkinan turut melibatkan penggunaan beberapa sedatif berbahaya serta ubat lain dan alkohol, lapor akhbar harian berbahasa Inggeris itu.

Bagaimanapun, tambah akhbar itu, setakat ini, belum diketahui sama ada pengambilan dadah dalam dos berlebihan itu adalah disengajakan atau dengan niat untuk membunuh diri.

Apa yang boleh dikatakan setakat ini ialah Sunanda amat tertekan dengan perbuatan suaminya menjalin hubungan dengan wartawan Pakistan bernama Mehr Tarar, dan beliau mendesak Tharoor supaya tidak lagi berhubung dengan wanita itu.

Sama ada desakannya itu dipenuhi atau sebaliknya tidak dapat dipastikan kerana Tharoor dan Tarar dikesan masih berhubung melalui Twitter dua hari sebelum kematian Sunanda, lapor akhbar itu.

Laporan Press Trust of India pula membayangkan kemungkinann Sunanda meninggal dunia kerana mengambil dadah dalam dos berlebihan.

Akhbar 'The Hindu', dalam laporan bertajuk 'Mystery behind death deepens', memetik sumber polis yang tidak dikenali sebagai berkata sebelum meninggal dunia, Sunanda mengambil beberapa jenis ubat.

Tanpa menyatakan waktu ubat berkenaan diambil atau jenisnya, satu sumber berkata beberapa pil ditemukan di tempat Sunanda meninggal dunia, lapor akhbar itu.

Akhbar harian DNA juga dalam laporannya membayangkan kematian Sunanda adalah berpunca daripada pengambilan dadah dalam dos berlebihan, kemungkinan ubat untuk mengatasi kemurungan.

Bagaimanapun, kata akhbar itu, punca kematian Sunanda akan hanya diketahui selepas laporan toksikologi dan patologi dikeluarkan makmal terbabit.

Seorang majistret akan mengambil kenyataan daripada Tharoor pada Isnin.

Tharoor, yang meninggalkan Pertubuhan Bangsa Bersatu selepas kalah dalam pemilihan bagi jawatan setiausaha agung badan dunia itu, kembali ke India pada 2008.

Sunanda adalah ahli perniagaan berbangsa Indo-Kanada. Beliau menyandang jawatan pengurus jualan di TECOM Investments, yang berpejabat di Dubai serta pemilik bersama Rendezvous Sports World dari India. Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2010.

Mayat Sunanda dibakar di New Delhi pada Sabtu. - Bernama

No comments:

Post a Comment