Wednesday 29 January 2014

i-City perkenal tarikan terbaharu 'Space Mission'

Para pengunjung sedang menaiki tarikan terbaharu i-City, Space Shuttle, semasa pratonton kepada pihak media di Shah Alam. --foto BERNAMA


SHAH ALAM: i-City, sebuah destinasi pelancongan popular di Selangor telah memperkenalkan tarikan terbaharunya - Space Mission@i-City yang memberi pendidikan dan hiburan kepada pengunjung dalam penerokaan angkasa lepas yang futuristik.

Dibina di kawasan seluas 30,000 kaki persegi, 'Space Mission' bertujuan memupuk minat dalam bidang sains dan teknologi angkasa dengan cara yang inovatif dengan menjadikannya acara bersama keluarga tanpa mengira umur untuk terlibat dalam pelbagai bentuk perjalanan pengembaraan angkasa, menurut i-City dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini sempena lawatan media untuk melihat tarikan terbaharu di pusat itu.

Semasa lawatan itu, media diberi peluang untuk mengalami perjalanan antara galaksi dan melihat komet dan hujan metoer, pertemuan dengan makhluk asing seperti yang pernah dilihat dalam filem "Alien" dan menyertai permainan pertempuran dengan makhluk asing.

Pengurus Maklumat I Bhd, pemaju i-City Tang Soke Cheng berkata 'Space Mission' berharap dapat menarik pelancong domestik dan asing untuk melawat ke pusat pelancongan berkenaan.

Peningkatan jumlah pengunjung ke i-City akan turut menyumbang kepada pendapatan sektor pelancongan negara dan pendapatan hasil Tahun Melawat Malaysia 2014, katanya.

Tang berkata Space Mission akan memulakan operasi pada Selasa dan yuran masuk sempena promosi Tahun Baharu Cina ialah RM15.

Selain 'Space Mission', i-City juga mempunyai tarikan utama yang lain termasuk Muzium Lilin Interaktif Pertama di Malaysia, Rumah Hantu, Trick Art Muzium, taman tema salji-SnoWalk, taman Tema air-Waterworld dan Kota Cahaya Digital di tapak seluas 10 hektar di Seksyen 7, di sini.

BERNAMA 

No comments:

Post a Comment