Wednesday 29 January 2014

Bayi lima bulan meninggal dunia dalam buaian

Bapanya sedang mendukung jenayah Amani selepas dimandikan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.


SEREMBAN – “Saya cuba beri bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR), tapi gagal. Jantungnya telah pun berhenti berdegup dan nadinya juga sudah tidak terasa lagi,” kata pengasuh bayi, Amani Safiyya Ismail, 5 bulan, yang meninggal dunia di dalam buaian di rumahnya, di Taman Bandar Senawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu, Haryzian Sidi, 32, yang baru sebulan menjaga Amani, terkejut apabila mendapati bayi perempuan itu berada dalam keadaan lemah dan terkulai sewaktu mahu memandikannya.

Menurut Haryzian, seperti biasa dia mengambil Amani di rumah ibu bapanya yang tidak jauh dari rumahnya itu, sekitar jam 6.40 pagi.

Katanya, sewaktu mengambil Amani, dia berada dalam keadaan sihat seperti biasa, cuma menangis sahaja, mungkin disebabkan terpaksa tinggal dengannya sementara kedua ibu dan bapanya bekerja.

“Memang setiap pagi saya akan mengambil Amani di rumahnya, dan bawa balik ke rumah saya. Seperti biasa, saya akan menidurkan Amani dan mengejutnya sekitar jam 12 tengahari untuk dimandikan.

“Namun, pada hari ini, sebaik sahaja saya mendekatinya, saya dapati mukanya sudah kebiruan, tangan dan kakinya pula terasa sangat sejuk.

“Saya kemudiannya mengangkat Amani tapi terasa badannya sungguh lemah.

“Dalam keadaan panik, saya cuba memberi CPR kepadanya, namun tidak berjaya. Amani tetap berada dalam keadaan yang sama. Saya kemudiannya terus menghubungi ibunya dan meminta untuk datang ke rumah dengan segara,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat di Hospital Tuanku Jaafar di sini, semalam.

Tambahnya, dia tidak pernah membuat CPR dan itu adalah kali pertama dia berbuat begitu, bagi membantu Amani bernafas, namun semuanya sia-sia.

Sejurus tiba di rumah, ibu Amani, menghantar anaknya ke klinik berdekatan, namun doktor mengesahkan bayinya sudah pun meninggal dunia.

Sementara itu, ayahnya, Shahrun Ismail, 36, berkata, sebelum ini anak bongsu daripada tiga beradik itu, berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik.

Katanya, bayinya itu hanya menangis seperti biasa setiap kali mahu dihantar kepada pengasuh, namun itu adalah perkara biasa memandangkan anaknya itu sudah pandai mengenal orang.

Dia dan isterinya, Nor Haslinda Hamzah, 32, yang juga merupakan seorang guru, tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku, memandangkan usia anaknya itu baru sahaja lima bulan.

“Namun takdir dan ketentuan ini sudah ditetapkan Allah SWT, kita sebagai hamba-Nya menerima dugaan ini dengan penuh sabar dan bertakwa. Apa pun berlaku kami reda dengan pemergian Amani,” katanya.

Menurut jurucakap polis, hasil daripada bedah siasat yang dilakukan terhadap bayi tersebut mendapati tiada sebarang masalah dan punca sebenar kematian masih belum dapat dikenal pasti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada unsur-unsur jenayah.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment