Friday 6 December 2013

Bola sepak: Rakyat Malaysia mengaku atur perlawanan

MELBOURNE - Seorang lelaki Malaysia dan dua pemain bola sepak di England mengaku mengatur keputusan perlawanan di sini dan terlibat dengan kegiatan satu sindiket antarabangsa.

Segaran Subramaniam, 45, rakyat Malaysia yang didakwa mendalangi kegiatan itu, mengaku bersalah pada Jumaat terhadap tuduhan melakukan perbuatan mengubah atau boleh mengubah keputusan pertaruhan, demikian menurut laporan Australian Associated Press (AAP).

Pada April tahun depan, Subramaniam akan dibicarakan bagi tuduhan berkomplot untuk menetapkan lima keputusan perlawanan Southern Stars di sini antara Julai dan September tahun ini.

Sementara itu, pada Jumaat, pemain pertahanan Reiss Noel dan penjaga gol Joe Woolley, kedua-duanya berumur 24 tahun, disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman denda setelah mengaku membantu mengatur keputusan lima perlawanan ketika bermain dengan Southern Stars dalam liga perdana separuh profesional Victoria.

Majistret Jack Vandersteen menjatuhi hukuman denda A$1,200 terhadap Woolley kerana peranannya dalam menetapkan keputusan tiga perlawanan, manakala Noel didenda A$2,000 kerana membantu menetapkan keputusan empat perlawanan.

Vandersteen berkata walaupun perbuatan mereka merupakan kesalahan serius, namun dua pemain itu tidak menyedari kesan meluas akibat tindakan mereka itu.

Pendakwa raya Peter Rose memberitahu mahkamah bahawa Woolley dan Noel adalah pemain hebat, yang memanipulasikan keputusan perlawanan mengikut arahan.

"Mereka boleh mengubah keputusan permainan dengan mudah," kata Rose yang dipetik AAP.

Beliau berkata kedua-dua pemain mengaku melakukan perbuatan itu dan mendakwa mereka tidak meraih banyak wang daripada skim berkenaan.

Peguam bela Anthony Brand pula berkata dua pemain itu adalah "bahagian yang boleh diketepikan" daripada operasi "langgar dan lari" sindiket berkenaan di Australia.

Katanya walaupun skim itu disusun rapi, tetapi ia lemah dari segi pelaksanaan apabila ada orang tertentu dilihat meneriakkan arahan mencurigakan dari luar padang dalam perlawanan melibatkan Southern Stars.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa arahan menetapkan keputusan perlawanan disampaikan melalui pengurus pasukan Zia Younan.

Younan, 36, serta seorang pemain Southern Stars dari England David Obaze, 23, dan Nicholas McKoy, 27, yang menghadapi tuduhan mengatur keputusan perlawanan, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 20 Dis. -- Bernama

No comments:

Post a Comment