Friday, 6 December 2013

Bayi 18 hari antara tiga maut kemalangan di Kubang Kerian


Keadaan kereta Perodua Kancil yang remuk teruk - Foto Astro AWANI


KUBANG KERIAN: Tiga maut termasuk seorang bayi berusia 18 hari manakala dua yang lain parah dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan kenderaan pelbagai guna, MPV di Kampung Chica Kubang Kerian pagi tadi.

Dalam kejadian jam lebih kurang 7.30 pagi itu, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Zabidah Dollah, 49 tahun, Siti Maimunah Abdullah, 35 tahun dan anak kepada Maimunah, bayi lelaki yang belum diberikan nama.

Pemandu Kancil, Mohd Noor Ghazi 38 tahun dan pemandu MPV yang dikenali sebagai Kamarizan Mat Yaman, 32 tahun mengalami kecederaan parah dan kini di rawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM Kubang Kerian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memaklumkan kereta Kancil yang dinaiki empat beranak itu dalam perjalanan dari arah Kubang Kerian menuju ke Pasir Tumboh.

Setibanya di tempat kejadian, pemandu kereta Kancil itu dikatakan mengubah laluan dari laluan kanan ke laluan kiri untuk membuat pusingan U.

Dalam masa yang sama MPV yang dipandu oleh wanita berkenaan tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta Kancil tersebut dan menyeretnya sehingga melanggar tiang eletrik berhadapan dengan sebuah kedai runcit.

Zabidah dan bayi lelaki berkenaan maut di tempat kejadian manakala Maimunah yang bertugas sebagai jururawat di HUSM Kubang Kerian meninggal dunia setibanya di HUSM.

Kereta Kancil yang dinaiki oleh satu keluarga itu dikatakan baru pulang dari mengadakan majlis mencukur jambul bayi berkenaan di rumah menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi tadi.

Kesemua mereka berasal dari Kampung Tanjung Stan, Kubang Kerian.

Mangsa yang maut ditempatkan di unit forensik HUSM untuk dibedah siasat sebelum di tuntut oleh keluarga.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment