Friday 6 December 2013

Suspek rompakan tangguh kahwin esok kerana tidak dibenar diikat jamin



Hasrat seorang lelaki bekas tahanan Simpang Renggam untuk melangsungkan perkahwinannya esok terpaksa dilupakan apabila Mahkamah Sesyen tidak membenarkannya diikat jamin bagi pertuduhan merompak yang dihadapinya.

R. Kunasekaran, 26, merupakan bekas tahanan pada 2007 dan 2009, hari ini didakwa di mahkamah terhadap pertuduhan rompak berkumpulan menggunakan sebilah parang di sebuah premis pengurup wang.

Dia dituduh mengambil pelbagai mata wang negara berjumlah RM243,920 di sebuah premis perkhidmatan wang berlesen di sebuah pasar raya di Kepong, di sini pada 10.20 pagi, 26 Nov lepas mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norman Mohd Nasir berhujah pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tertuduh tidak diberikan jaminan atas alasan melibatkan kerugian yang besar.

Selain itu, katanya tertuduh yang bekerja sebagai peniaga besi buruk turut memiliki sembilan rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah.

Peguam G. Ganesan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan diberikan kerana keluarga dan anak guamnya itu telah membuat persiapan untuk perkahwinannya esok.

Hakim Azman Mustapa tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 16 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment