Sunday 24 November 2013

Kitar semula telefon terpakai

Kitar semula telefon terpakai
Loh (tengah) dan Shah Reza (tiga kanan) bersama rakan selebriti yang turut hadir dalam Majlis Pelancaran Program Kitar Semula Telefon dan Pengenalan Telefon Pintar U9R1 di Kuala Lumpur.


NINETOLOGY Marketing Sdn Bhd (Ninetology) memperkenalkan telefon pintar mesra alam U9R1 serentak dengan pelancaran program kitar semula telefon pintar, Smart Ecology 2.

Program itu dianjurkan bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia bagi mengurangkan kesan kerosakan kepada alam sekitar, yang turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shah Reza Hussein.

Ketua Pegawai Digital Ninetology, Leslie Loh berkata, program ini adalah bagi mendidik golongan muda khususnya pelajar untuk mengitar semula telefon mereka.

“Menurut statistik di Malaysia sahaja sekitar 820 telefon terjual setiap bulan.

“Jumlah ini menyumbang kepada angka peningkatan pencemaran dan pembuangan yang tinggi bagi telefon terpakai dalam negara, “ katanya ketika pelancaran program kitar semula telefon itu di Kuala Lumpur.

Menurutnya, program pertama yang dianjurkan tahun lalu, Ninetology menerima 10, 000 unit telefon terpakai.

Katanya, sebelum ini, pengguna yang ingin menukar telefon tidak mempunyai platform dalam menyumbang untuk menyelamatkan alam sekitar dan menerusi inisiatif ini pengguna kini bukan sahaja boleh menukar telefon tetapi pada masa sama mempunyai rangkaian untuk menjual semula telefon lama.

Loh berkata, telefon lama itu akan diambil oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia yang akan dikitar semula mengikut cara yang selamat.

Bagi menggalakkan dan memotivasikan pengguna untuk mengitar semula telefon, program ini turut menawarkan rebat RM200 kepada pengguna yang menjual telefon lama.

“Pengguna hanya perlu mendaftar di laman sesawang Ninetology sebelum membuat pembelian.

“Manakala golongan muda (sehingga 30 tahun) diberikan rebat RM150 ketika pembelian mana-mana produk Ninetology,” katanya.

Menurutnya, hanya tiga model telefon terlibat dalam program itu dan empat lagi akan diperkenalkan bulan depan.

"Program kitar semula ini berjalan bermula bulan ini sehingga 31 Januari 2014," katanya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment