Sunday 24 November 2013

FAM tidak sambung kontrak Rajagobal

FAM tidak sambung kontrak Rajagobal, Kim Swee disambung

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak menyambung kontrak ketua jurulatih skuad kebangsaan, Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang tamat 31 Dis ini.

Keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM di Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.

Naib Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal berkata jurulatih skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) Datuk Ong Kim Swee akan menggantikan Rajagobal sebagai pengendali sementara selepas Sukan SEA Myanmar, bulan depan.

Rajagobal dilantik sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya pada 2009.

"Untuk menaikkan lagi tahap sukan bola sepak negara, adalah perlu untuk kita memberikan peluang kepada jurulatih lain yang boleh memberikan sumbangan lebih hebat kepada negara," kata Subahan pada sidang media selepas mesyuarat itu.

"Saya yakin dengan pengalaman beliau bersama FAM sebelum ini dapat membimbing beberapa pasukan lain di luar sana. FAM ingin merakamkan penghargaan kepada Rajagobal atas sumbangannya terjadap negara selama ini," katanya.

Subahan berkata FAM sedang menyenarai pendek beberapa calon yang sesuai untuk menggantikan tempat Rajagobal.

"Kalau mengambil masa yang lama (untuk melantik jurulatih baharu), maka Kim Swee bertanggungjawab untuk membimbing skuad Harimau Malaya pada perlawanan terakhir (kelayakan Piala Asia 2015) menentang Yemen pada Mac depan.

"Kita bagaimanapun masih berharap dapat mencari pengganti Rajagobal selewat-lewatnya sebelum aksi menentang Yemen nanti," katanya.

Antara pencapaian terbaik Rajagobal ialah membantu skuad B-23 negara menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas Sukan SEa 2009 di Laos selain membantu skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF buat kali pertama pada 2010.

FAM sebelum ini meletakkan petunjuk prestasi utama kepada Rajagobal untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia namun ia gagal dicapai oleh jurulatih berusia 57 tahun itu selepas Malaysia sekadar menduduki tangga ketiga kumpulan D kelayakan dengan empat mata.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment