Saturday, 7 December 2013

Sukan SEA: Diana Bong sumbang pingat emas pertama


Diana Bong Siong Lin - Foto Bernama


NAYPYITAW: Atlet wushu negara, Diana Bong Siong Lin berjaya menepati ramalan sebagai penyumbang pingat emas pertama negara dalam temasya Sukan SEA ke-27 pada aksi pembuka tirai wushu menerusi acara Nanquan.

Diana, 28, mengungguli acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A dekat sini hari ini dengan mengumpul markah tertinggi iaitu 9.70 mata seterusnya mengatasi lapan peserta lain.

Pingat perak acara tersebut menjadi milik atlet dari Vietnam, Minh Phuong Bui yang mengutip 9.68 mata iaitu dengan perbezaan 0.03 mata di hadapan peserta Malaysia, Cheau Xuen Tai yang meraih gangsa.

Sebutir lagi pingat gangsa negara dari gelanggang wushu hari ini disumbangkan Phoo Eyin yang beraksi dalam acara Jianshu wanita dengan mengumpul 9.46 mata.

Pingat emas acara itu dimenangi Thuy Vi Duang dengan kutipan mata keseluruhan 9.70, perbezaan hanya 0.01 mata di hadapan pemenang pingat perak, Sandy Yoo dari Myanmar.

Ketika ditemui pemberita, Diana berkata pada mulanya dia sedikit gementar dan tertekan kerana menggalas cabaran untuk meraih pingat emas pertama negara namun perasaan tersebut hilang apabila mula masuk ke gelanggang.

"Ketika melangkah masuk ke gelanggang saya cuba beri fokus sepenuhnya kepada perlawanan dan saya rasa gembira apabila berjaya melepasi durasi satu minit dan 20 saat," katanya.

Atlet berasal dari Sungai Tapang, Kuching itu berkata pada awal pagi tadi dia mengalami sedikit sakit kepala namun itu tidak menjejaskan tumpuannya ketika beraksi di gelanggang.

Katanya kekuatan mental adalah senjata penting bagi setiap atlet dan dia berjaya mengatasi segala masalah yang timbul termasuk mengalami cirit-birit sejak tiga hari lepas.

Diana sebelum ini pernah meraih pingat emas dalam acara gabungan nanquan-nandao-nangun wanita pada Sukan SEA di Thailand pada 2007 dan berjaya mengulangi kejayaan yang sama pada Sukan SEA edisi Laos 2009 menerusi acara gabungan nangun-nandao wanita.

Namun nasib tidak menyebelahi beliau pada Sukan SEA Indonesia dua tahun lepas apabila hanya meraih pingat gangsa menerusi acara gabungan nandao-nangun wanita.

"Duka kegagalan meraih pingat emas di Indonesia kini terubat dan saya rasa cukup gembira hari ini setelah menunggu selama dua tahun untuk menebus kembali rasa kecewa," katanya.

Bernama 

No comments:

Post a Comment