Monday, 16 December 2013

Rakyat sudah jatuh ditimpa tangga

Rakyat sudah jatuh ditimpa tangga

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Peribahasa ibarat sudah jatuh ditimpa tangga sesuai untuk situasi rakyat yang semakin terhimpit dengan kesan kenaikan yang bakal dialami pada 2014, kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman kerajaan yang bakal menaikkan kadar tol di 13 lebuh raya terlibat susulan perjanjian konsesi yang menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.

“Apabila mendengar kenaikan tol ini, saya tidak terkata lagi. Baharu sahaja rakyat dikhabarkan kenaikan tarif elektrik, gula, minyak, ini tol pula.

“Kita rakyat susah mahu faham dengan tindakan kerajaan kerana setiap kali yang diumumkan syarikat konsesi mendapat keuntungan berganda, kerajaan juga mendapat pulangan baik, tapi rakyat yang susah akhirnya dengan kadar tol dinaikkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, jika kerajaan mahu menaikkan harga tol, namun tahap prestasi jalan dan ciri-ciri keselamatan masih ditahap yang sama, pastinya amat tidak bermakna bagi rakyat.

“Kalau sepanjang jalan di lebuh raya dengan kelajuan 110km, contohnya hanya sejam sahaja boleh sampai ke Melaka dari Kuala Lumpur, mungkin rakyat tidak akan berkira.

“Tapi kalau bayar tol, jalan tetap sesak dan ciri keselamatan tidak diendahkan apa guna bayar tol yang mahal-mahal,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya jika sekalipun kenaikan kadar tol tidak dapat dielakkan, kerajaan sepatutnya bertindak menyemak sekali lagi perjanjian antara syarikat konsesi supaya tidak berlaku perjanjian berat sebelah.

“Ini penting, kerajaan perlu semak kembali perjanjian itu supaya tidak berlaku tindakan kurang cerdik daripada pihak mereka semasa menandatangani perjanjian dengan syarikat konsesi.

“Kita tidak mahu berlaku berat sebelah, mungkin masa tandatangan itu, diambil kira jumlah kereta yang lalu hanya berapa dan sekarang pula sudah berapa jumlah kereta yang melalui lebuh raya itu,” kata beliau.

Sehubungan itu, kerajaan disaran lebih bijak menguruskan ekonomi dengan mengutamakan rakyat supaya tidak terkesan berikutan penarikan subsidi dan kenaikan harga barangan.

“Rasanya di setiap lebuh raya ada papan iklan yang pastinya mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Ini belum lagi termasuk dengan gerai di kawasan rehat yang menawarkan pelbagai barangan makanan dan sebagainya kepada pengguna, pastinya mendapat keuntungan,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment