Monday, 16 December 2013

Malaysia bangkit mara ke akhir bertemu Thailand

Malaysia bangkit mara ke akhir bertemu Thailand

NAYPYITAW:  Selepas aksi mengecewakan dalam acara berpasukan pada Sukan SEA ke-27, skuad sepak takraw negara bangkit mara ke pentas akhir acara antara regu lelaki di Stadium Tertutup Wunna Theikdi di sini hari ini.


Kemaraan skuad negara yang dibarisi Izurin Refin, Mohd Hanafiah Dolah dan Mohd Muqlis sekali gus memperbaiki pencapaian Malaysia pada Sukan SEA 2011 di Indonesia apabila sekadar meraih pingat gangsa acara berkenaan.

Skuad kebangsaan ternyata menampilkan aksi berbeza dalam acara antara regu apabila mengenepikan cabaran pasukan Myanmar yang diperkuatkan Aung Pyah Tun, Kyaw Soe Win dan Aung Myo Swe dengan 21-12, 21-15.

Skuad kendalian Jamaluddin Hassan itu akan berdepan Thailand pada perlawanan akhir esok.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Jamaluddin memuji prestasi barisan pemain negara.

"Benteng pertahanan kita bagus, tekong juga tidak banyak melakukan kesilapan, malah banyak mata diperoleh menerusi servis.

"Kita akan buat yang terbaik apabila berdepan Thailand esok," katanya.

Untuk rekod, skuad kebangsaan gagal menang dalam ketiga-tiga perlawanan sekali gus menduduki tangga tercorot dalam liga sepusingan yang membabitkan empat pasukan dalam acara berpasukan.

Namun, skuad negara tetap memenangi gangsa atas ihsan penganjur yang memutuskan pasukan menduduki tempat ketiga dan keempat berkongsi gangsa acara tersebut

BERNAMA .

No comments:

Post a Comment