BIARPUN masih dikatakan baharu berkecimpung dalam dunia lakonan namun, Aishah Ilias, 26, melakonkan watak Zafrina dengan berkesan melalui drama bersiri Love You Mr Arrogant.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Aishah sebenarnya pernah menyertai pencarian Dewi Remaja pada 2006 bersama Scha Al Yahya, Rebecca Nur Islam dan Izreen Azminda.
Selepas pertandingan itu, dia kembali menyambung pelajarannya di Rima College dalam bidang kesetiausahaan. Selepas tamat belajar, Aishah bekerja di sebuah firma arkitek di ibu negara selama lebih kurang empat tahun.
Aishah akhirnya memasuki bidang hiburan apabila dia terserempak dengan Haji Fazil, pemilik Zeel Productions. Bermula dari situlah bermula perjalanan seninya apabila bermula dengan drama bersiri ‘Mencari Athira’ yang bersiaran di RTM.
Nama dan bakat Aishah akhirnya mendapat perhatian umum terutamanya produksi filem dan drama tempatan sekali gus menerima tawaran untuk berlakon drama seperti ‘Atas Nama Cinta’, ‘Amira’ ‘Dejavu Di Kinabalu’ dan ‘Jodoh Itu Milik Kita’.
Pelakon yang berketinggian 174 sentimeter ini kini sedang mencipta nama sebagai salah seorang aktres baru yang punya rupa serta bakat tersendiri.
Mengakui persaingan dalam industri seni semakin sengit, dia menjelaskan sudah bersedia untuk berdepan keadaan itu. Baginya, perkara yang membezakan setiap pelakon adalah disiplin.
Terbaru, aktres ini mula mendapat tawaran berlakon sebagai pontianak dalam filem Paku. Filem seram itu merupakan filem pertama lakonannya dan kali ini Aishah bergandingan dengan Johan As’ari. Filem terbitan Nusantara Seni Karya itu bakal ditayangkan di pawagam pada 12 Disember ini.
Menurut Aishah, dia tertidur di dalam kubur gara-gara terlalu penat ketika menjalani penggambaran filem ‘Paku’ yang bakal menemui pawagam seluruh Malaysia bermula 12 Disember hadapan.
“Saya merasakan berlakon dalam filem ini merupakan satu cabaran untuk saya. Tapi apa yang paling ditakutkan apabila bangkai kambing mati diletakkan di atas badan saya.
“Ada juga babak di dalam kubur. Akibat terlalu penat, menjalani penggambaran untuk babak itu, saya tertidur seketika semasa adegan tersebut berlangsung,” kata Aishah.
Belum punya teman lelaki
Sebagai pendatang baharu, pasti ramai yang bertanya siapa yang sedang bertakhta di hati gadis manis ini. Jadi tidak hairanlah ada yang ingin tahu jika Aishah sudah berpunya.
“Saya seorang yang mempunyai ramai kawan lelaki berbanding perempuan. Tapi saya belum berpunya dan masih mencari teman istimewa yang memahami saya,” ujarnya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment