BARANGKALI, Thailand perlu terima nasib yang seolah-olah sudah ditakdirkan ke atas rentak politiknya. Ia beberapa kali sumbang dan beberapa kali yang lain pula tersungkur seperti salah atau tersilap ritma. Tidak seperti irama pentadbiran di negara jiran lain di Asia Tenggara, Thailand berkali-kali bertukar Perdana Menteri, orang yang sepatutnya memberi irama yang kena pada jalur denyut penduduknya.
Bahawa Thailand itu kerap kali bertukar Perdana Menteri dikaitkan dengan sinis oleh beberapa pengkritik dan pengamat politik Asia Tenggara. Antaranya, seorang rakan satu jurusan di universiti yang juga ada darah Thailand, Zaharah Muhamad berkata : “ Bukan Thailand jika tidak ada kudeta; tidak juga namanya Thailand andai tidak lazim bertukar kuasa di tangan yang lain.” Seorang lagi menarik perhatian, “Saya kira, tetapi saya kasihankan rakyat Thailand kerana negaranya bertukar Perdana Menteri seolah-olah menukar kereta. Mujur tidak sama dengan menukar kain, kalau tidak tentunya tiap-tiap hari Perdana Menteri berbeza memerintah negara.’’
Malangnya Thailand, perkembangan sejak November lepas semakin menghampiri mengulangi skrip dan lagu lama dendangan sebelum ini. Tidak berubah seperti 2006 yang membawa kepada penggulingan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra; 2009, semasa pertempuran baju merah dan baju kuning dan 2010, ketika berlaku pertumpahan darah sekali gus membawa kepada proses pilihan raya diadakan. Apabila rakyat turun ke jalanan, kuasanya bukan lagi wang dan pangkat, yang ada cuma suara mahukan irama baru perubahan kepada tampuk pemerintahan.
Saya ingin membawa apa yang berlaku di Thailand pada hari ini kembali kepada sejarah kebangkitan Asia Tenggara dan peranan tentera dalam landskap politik negara gajah putih itu. Saya masih ingat dengan jelas mempelajari kursus “The Golden Age of Southeast Asian History, 3rd – 15 Century dan kemudiannya dipanjangkan kepada kursus “Religion , Culture and Society In Southeast Asian History” di mana salah sebuah negara dikaji ialah Thailand.
Di Thailand, sejak dahulu dan kini, tentera memainkan peranan yang cukup signifikan dalam politik negara itu. Bagaimana mungkin, sedangkan pada masa sekarang dapat dilihat bahawa tentera belum lagi masuk untuk mengubah rentak dan hala tuju politik Thailand. Namun, jangan dilupakan, Thailand sudah beberapa kali menyaksikan rampasan kuasa tentera sejak ia wujud sebagai sebuah negara bebas demokrasi.
Peranan tentera di Thailand tentunya untuk tujuan menjaga keselamatan. Itu tugas hakiki tentera, waima di negara lain sekali pun. Namun dalam menentukan politiknya terus ada rentak yang tidak silap atau sumbang, tentera di Thailand hanya akan bertindak berasaskan tiga perkara asas.
Tiga perkara asas yang mengundang campur tangan tentera itu kata pensyarah saya, Profesor Dr Danny Wong Tze Ken ialah apabila apa sahaja soal raja Thai disentuh; ketika ada masalah ekonomi dan semasa ada kaitan dengan soal keselamatan.
“Peristiwa yang membawa kepada penggulingan Thaksin, bukan sangat kerana rasuah, tetapi lebih menjurus kepada tindakan bekas Perdana Menteri itu yang dilihat tidak begitu menghormati sistem Raja Berperlembagaan. Malah ekonomi di Thailand tidak menyebelahinya ketika itu. Lebih buruk, pelbagai peristiwa berlaku di selatan Thailand seperti pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai dan serangan di Masjid Krue Se yang menjejaskan soal keselamatan berlaku semasa era Thaksin. Nah, kemarahan rakyat ini diambil dengan mudah untuk tentera berperanan, lalu berlaku protes kuasa rakyat,’’ kata beliau seperti dipetik sebagai berkata dalam kelas bagi Kursus “Religion , Culture and Society In Southeast Asian History”.
Abhisit Vejjajiva
Kecuali Abhisit Vejjajiva, pemimpin pembangkang Parti Demokrat sekarang yang ditukar menerusi pilihan raya, nasib beberapa Perdana Menteri Thailand sebelum ini dihitung menerusi percaturan tentera dan peranannya dalam politik di negara itu. Parti Abhisit tewas dalam pilihan raya yang diadakan pada 2011. Parti Phuea Thai menang dengan majoriti besar di mana keluarga Shinawat yang kaya raya disokong kuat penduduk luar bandar dan bandar tetapi dibenci golongan elit dan pertengahan. Maka itu menyebabkan, parti pimpinan adiknya, Yingluck menang pilihan raya.
Samak Sundraravej
Beberapa Perdana Menteri sebelum ini, bermula 1996 hingga 2011, iaitu semasa gelombang politik Thailand bergelora, reda, tenang dan deras semula dari Jeneral Chavalit Yongchaiyudh (1996-1997) hingga Abhisit (2008-2011), semuanya hampir ada kaitan dengan peranan tentera. Sepanjang tempoh masa itu, sembilan Perdana Menteri, lima daripadanya berlatar belakang tentera, kalau tidak pun disokong tentera dari belakang. Samak Sundararavej yang dilantik pada 28 Januari 2008 misalnya, walaupun seorang tukang masak, turut dijatuhkan walaupun sebelum itu mendapat sokongan tentera. Samak hanya bertahan kurang setahun sebelum digantikan Somchai Wongsawat. Oleh kerana masalah selatan Thai yang ada hubung kait soal keselamatan, Samak berundur manakala Somchai pula letak kuasa kerana soal rasuah berkaitan isu ekonomi.
Yingluck Shinawatra
Yingluck, sebelum detik-detik protes memintanya berundur, ada bertindak mahu meluluskan Rang Undang-Undang Pengampunan yang membuka jalan abangnya Thaksin pulang ke Thailand tanpa perlu menjalani hukuman, mengundang rasa marah pembangkang, Suthep Thaungsuban, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri. Hal undang-undang ada kaitan dengan soal keselamatan, jangan dilupakan, apabila soal keselamatan digugat, sudah pasti tentera bakal ambil tempat, kerana keselamatan adalah antara tiga soal asas di mana tentera akan berperanan signifikan dalam politik Thailand.
Perhitungan nasib beberapa pemimpin sebelum ini, dicatur tentera yang amat berkuasa di Thailand. Untung nasib Yingluck sudah pasti dalam kiraan tentera juga. Tentera sudah pasti mahu dendangan yang berbeza, jika alunan dinikmati sekarang dirasakan tidak lagi enak di telinga mereka.
Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment