Friday 8 November 2013

Wanita Indonesia bersama syabu ditahan

BALIK PULAU - Polis menahan seorang wanita warga Indonesia dan merampas 1.7kg syabu bernilai RM360,000 yang disorok di dalam bagasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Mohd Hatta Mohd Zain berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan pada 7.40 malam di balai ketibaan setelah pasukan keselamatan lapangan terbang curiga dengan bagasinya.

"Setelah diperiksa kita dapati beg yang berisi pakaian itu telah diubah suai dan dadah yang dibungkus beberapa lapisan plastik hitam berkenaan diletak dalam keadaan tersembunyi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menemui sejumlah mata wang asing iaitu Vietnam, Indonesia, Hong Kong dan China dianggarkan bernilai RM830.

Katanya menurut rekod perjalanan wanita itu, dia didapati menaiki penerbangan terus dari Indonesia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum transit di Hong Hong Kong untuk ke Guang Zhou, China dipercayai untuk mengambil bekalan dadah berkenaan.

"Dia kemudiannya ke Hong Kong semula dan mengambil penerbangan terus ke Pulau Pinang untuk mengedar dadah itu ke sekitar negeri ini," katanya.

Mohd Hatta berkata polis percaya wanita yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun itu baru melibatkan diri dalam kegiatan haram berkenaan.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan sindiket pengedaran antarabangsa terbabit, menggunakan laluan perjalanan yang berbeza termasuk menukar lauan darat dan udara mengikut keperluan semasa bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.

Katanya wanita itu ditahan reman sehingga 13 Nov untuk siasatan. - Bernama

No comments:

Post a Comment