Friday 8 November 2013

Penjawat awam ponteng kerja

Azlan Man
Azlan Man

KANGAR - Menteri Besar Perlis Azlan Man mahu kakitangan awam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan bagi menjayakan wawasan Perlis Maju 2015.

Beliau berharap mereka meningkatkan disiplin dan tidak ponteng kerja sehingga berlaku tunggakan tugas.

"Saya memandang serius terhadap mereka yang selalu ponteng kerja dan jika sesuatu tindakan dikenakan ke atas mereka, jangan pula salahkan kerajaan," katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang kakitangan perkhidmatan awam negeri di sini hari ini.

Menteri Besar berkata beliau tidak mahu lagi mendengar rungutan rakyat mengenai kelewatan yang dilakukan oleh sesebuah jabatan kerajaan bagi sebarang permohonan dan perkhidmatan.

Selain itu, beliau juga mahu mereka memastikan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis tahun depan berjalan lancar.

Mengenai kebersihan, Azlan melahirkan rasa kecewa kerana ada syarikat yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna menyebabkan sampah sarap kelihatan berselerakan di merata tempat termasuk di dalam sungai.

Pada majlis itu, 101 kakitangan awam menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang manakala 27 pesara menerima Anugerah Jasamu Dikenang.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment