Friday 8 November 2013

3 individu diugut guna peluru

GEORGETOWN - Seorang penyelia makmal foto mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan pemerasan dan ugutan jenayah menggunakan peluru membabitkan tiga individu, bulan lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Lim Teik Chong, 43, didakwa memeras ugut Attaullah Habibullah, 56, dengan mengirim sepucuk surat bersama sebutir peluru meminta wang tunai RM20,000 ke Kedai Jeruk Aishah, No. 7, Jalan Chowrasta di sini, pada 8 pagi, 25 Oktober lepas.

Dia juga didakwa melakukan perkara sama terhadap Lim Guan Ek, 54, menerusi surat yang dikirim ke No. 42 Taman Perak di sini, pada 12 tengah hari, 28 Okt lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Teik Chong didakwa memeras ugut Chong Hin Seong, 42, dengan mengirim sebutir peluru berserta ugutan bakal cedera parah ke alamat 6-U Jalan Siput Kepah, Pulau Tikus di sini, pada 3 petang, 21 Oktober lepas.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superitendan Ahmad Haizan Abdullah memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin atas alasan tertuduh boleh mengancam mangsa selain tertuduh turut berhadapan 13 laporan polis yang masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Teik Chong, Ranjit Singh Dhillon memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan ancaman terhadap saksi tanpa sebarang dokumen atau laporan hanyalah satu spekulasi.

Majistret Dianne Nigrad Nor Azhar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala RM15,000 dengan seorang penjamin untuk pertuduhan ketiga.

Majistret turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu saksi dan pihak pendakwaan dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap Isnin.

Mahkamah menetapkan 13 Disember ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

No comments:

Post a Comment