Monday 18 November 2013

Ugut sembelih isteri, dapat 3 tahun penjara

KOTA BHARU - Padah berkelakuan agresif dengan mengacu golok dan mengugut untuk menyembelih isteri, seorang buruh dijel tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas mendengar keterangan impak mangsa.

Tertuduh, Norbaharuddin Awang, 33, mengaku salah mengugut sambil mengacu golok terhadap Azlinnah Abdullah, 33, di sebuah rumah di Kampung Pagut, Ketereh di sini, jam 3.30 petang 30 Oktober lalu.

Kejadian berpunca selepas pasangan itu berselisih faham kerana tertuduh mendakwa isterinya itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Walaupun mangsa menafikannya, pertengkaran mulut terus berlaku sehingga leher mangsa dicekik dan ditampar di pipi kiri serta kanan.

Belum berpuas hati dengan tindakannya itu, tertuduh kemudian mengacu golok dan mengugut untuk menyembelih mangsa pula.

Akibat ketakutan, mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh, sehari selepas itu.

Pada prosiding semalam, tertuduh memohon hukumannya diringankan kerana telah insaf dan masih menanggung keluarga.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan kesalahan serius yang berlaku dalam rumah tangga dan semakin berleluasa.

“Tindakan tertuduh menyebabkan mangsa kegentaran, takut dibunuh,” katanya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment