Monday 18 November 2013

Akhirnya Zahida pilih lelaki bujang


PENGAKUAN terbaharu Zahida Rafik segera menepis spekulasi selama ini yang mendakwa dirinya sudah berkahwin dan menjalin hubungan dengan orang kenamaan.


ZAHIDA RAFIK sepi di lapangan karier seni namun namanya seringkali terpalit dengan kisah-kisah panas. Persoalan tentang hidup mewah hasil tajaan orang kenamaan yang sering ditujukan kepadanya kini bagai sudah berakhir.

Pada usia 38 tahun, Zahida tidak perlu membuktikan dari mana kemewahan yang dimiliki sementelah dia sendiri menceburi bidang perniagaan kecantikan dan makanan sejak sekian lama.

Khamis lalu, Zahida mengejutkan banyak pihak apabila secara terus-terang membuka kisah cintanya yang sudah berlangsung sejak lapan tahun lalu. Jauh daripada segala spekulasi yang mendakwa Zahida mempunyai hubungan sulit dengan suami orang, pelakon yang pernah dikenali menerusi filem Anak Mami The Movie turut membuat pengakuan untuk berkahwin pada tahun depan namun bakal suaminya itu bukanlah orang politik. Lelaki yang digambarkan sebagai ahli perniagaan yang berasal dari Johor itu juga bukanlah berstatus suami ataupun duda.

"Saya sudahpun mempunyai teman istimewa yang juga seorang ahli perniagaan yang dikenali sejak lapan tahun lalu. Insya-Allah kami juga merancang berkahwin pada tahun depan.

"Tidak perlulah saya dedahkan identiti si dia buat masa ini. Apa yang boleh saya katakan dia hanya orang biasa dan bukan berstatus Datuk mahupun VIP. Dia juga baru berumur 41 tahun, masih bujang dan bukan suami orang," jelas Zahida yang ditemui dalam majlis Baby Shower Betty Benafe di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Masih berahsia tentang lelaki yang sudah menakluk hatinya itu, kata Zahida, biarlah perkara itu hanya diperkenalkan kepada umum apabila tiba waktu yang tepat.

Menyimpan kisah peribadi bukan untuk tatapan umum, Zahida ternyata seorang berahsia. Jika tidak, masakan teman baiknya sendiri, Datin Paduka Umie Aida turut melahirkan rasa terkejut sebaik sahaja pengakuan Zahida itu hanya diketahui dari dada akhbar.

"Saya agak terkejut dengan pengakuan Zahida, memang kami kawan rapat tetapi setakat ini dia tidak pula bercerita tentang perancangannya untuk berkahwin. Saya pun tahu berita ini setelah membaca dari surat khabar. Apa-apa hal, sebagai kawan, saya berdoa agar segala perancangan Zahida akan berjalan lancar. Saya tumpang gembira untuk dia," jelas Umie sebaik sahaja diminta mengulas mengenai khabar gembira teman baiknya.


Sumber

No comments:

Post a Comment