Monday 18 November 2013

Mahu bersemuka dengan peragut

Mahu bersemuka dengan peragut
Norain menunjukkan beg kerja milik ibunya yang cuba diragut penjenayah sehinggakan menyebabkan kematian.

Mahu bersemuka dengan peragut
Norain (kiri, sekali) dan bapanya, Md Yusof Abdullah (dua, kiri) menerima kunjungan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tampin, Ridzuan Ahmad (kanan) dan rombongan.


SEREMBAN – “Inilah beg kerja milik emak yang mereka (peragut) mahukan sangat. Saya boleh bagi beg ini jika mereka minta tetapi saya amat kesal dengan tindakan mereka yang agresif itu (tendang), kerana dengan tindakan itu telah mengakibatkan kematian emak saya,” kata anak mangsa ragut, Norain Mohd Yusof, 23.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.55 petang kelmarin, Jamariah Ahir, 65, yang membonceng motosikal yang ditunggang anak perempuannya, Norain cuba diragut dua suspek yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss.

Mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank di sini terjatuh selepas suspek menendang motosikal dinaiki apabila gagal meragut beg tangannya.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala Norain hanya cedera ringan.

Norain berkata, beg kerja ibunya memang diletakkan di bakul motosikal.

“Bagaimanapun, dalam beg kerja emak tidak ada barang berharga langsung.

"Hanya ada bekal makanan, bedak, tisu dan gincu milik emak kerana waktu kejadian itu, dompet emak tidak diletakkan dalam beg itu tetapi sebaliknya di dalam poket seluar,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan wakil Pemuda UMNO Negeri Sembilan di rumahnya di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Jalan Tuanku Kursiah, Sikamat dekat sini, semalam.

Menceritakan mengenai kejadian itu, Norain berkata, dia sama sekali tidak menyedari kehadiran motosikal yang secara tiba-tiba menghimpit motosikalnya di sebelah kanan.
“Kemudian, saya nampak tangan salah seorang peragut cuba mengambil beg yang diletakkan dalam bakul motosikal.

"Saya gagal mengawal motosikal sebelum peragut bertindak menendang motosikal dan mengakibatkan kami berdua terjatuh," katanya.

Tambah Norain, ketika itu, dia cuba mencari ibunya dan tidak menghiraukan peragut berkenaan.

"Saya terkejut apabila melihat emak terbaring di atas jalan raya dalam keadaan kepala tertangkup.

“Saya cuba mendapatkan emak dan memeriksa nadinya. Ketika itu nadinya bergerak perlahan sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) berkata, kejadian yang menimpa ibunya amat menyayat hati kerana kejadian berlaku di hadapan matanya sendiri.

“Susah mahu gambarkan perasaan pilu saya selepas pemergian emak. Saya memang rapat dengan emak dan memang selalu mengambil emak di tempat kerjanya jika saya bekerja syif pagi,” katanya.

Katanya, dia mahu pihak berkuasa menegakkan keadilan bagi pihak keluarganya dan membawa peragut terbabit ke muka pengadilan.

“Sebelum itu, saya mahu bersemuka dengan peragut yang menyebabkan kematian emak dan ingin bertanya kepada mereka, puas hati ke mereka buat macam ini,” katanya.

Norain turut memberitahu, ibunya ada menceritakan mengenai mimpi pelik yang dialaminya sehari sebelum kejadian berlaku.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment