Yee Fong dan suaminya, Quah Lawrence Henry menunjukkan SMS gangguan yang dihantar nombor tidak dikenali, pada sidang media semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang pembantu pentadbiran dan jualan dari Taman Seri Orkid, di sini tidak menyangka hubungan atas kakak dan adik angkat bertukar menjadi siri gangguan seksual dan ugutan dari bekas rakan sekolej.
Mangsa, Chan Yee Fong, 28, berkata, dia dan rakannya yang dikenali sebagai Jameson, 27, terputus hubungan sejak berkahwin pada 2007 namun tiba-tiba diganggu oleh rakannya itu sejak 24 September lalu.
“Saya kenali Jameson pada 2006 ketika kami sama-sama belajar di kolej dan hubungan kami ibarat adik-beradik malah dia turut memanggil saya sebagai kakak.
“Namun selepas berkahwin saya mula menjauhkan diri kerana ingin menumpukan perhatian terhadap keluarga selain kurang senang dengan sikap dia yang ketagihan dadah,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Ibu kepada tiga anak itu mendakwa menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) dari nombor tidak dikenali yang mengajaknya untuk mengadakan hubungan intim sebaik sahaja Jameson mula menghubunginya.
“Penghantar sms itu menggesa saya untuk tidur dengannya di sebuah hotel dan akan memberikan wang RM500. Jika permintaan itu tak dipenuhi keluarga saya akan diancam.
“Saya mengesyaki Jameson mempunyai kaitan dalam perkara ini kerana mula menerima SMS gangguan sebaik sahaja dihubungi Jameson dan dia juga seolah-olah mengelak apabila saya menghubunginya,” katanya.
Yee Fong berkata, dia sekali lagi dihubungi oleh Jameson pada 25 September dan memberitahu bahawa telefon bimbitnya telah hilang dan mendakwa nombor telefonnya digodam pihak tidak bertanggungjawab.
“Ketika saya dan suami bertemu Jameson, dia memberitahu tidak mempunyai kaitan dengan gangguan seksual berkenaan kerana telefon bimbitnya hilang dan mungkin disalah guna individu lain.
“Jadi saya nasihatkan dia agar buat laporan polis namun Jameson enggan sebaliknya mengugut akan diancam oleh rakan-rakannya jika saya membuat laporan polis,” katanya.
Katanya, dia yang bimbang dengan situasi itu segera membuat laporan polis demi keselamatan keluarganya dan berharap gangguan berkenaan tidak berterusan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian MCA Gelang Patah, Tan Ba Ba berkata, pihaknya akan mengikuti perkembangan kes berkenaan dan menggesa individu terbabit agar menghentikan gangguan.
“Kita akan mengambil tindakan lebih tegas sekiranya individu itu masih mengganggu mangsa,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment