Saturday 12 October 2013

Harga lembu mahal sehingga RM3,800 seekor

Harga lembu mahal

KUALA TERENGGANU – Harga lembu kebelakangan ini agak mahal sehingga mencecah RM3,800 seekor berbanding RM1,800 seekor lima tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Penternak Negeri Terengganu, Abdul Hamid Mohd Salleh berkata, antara punca kenaikan harga lembu itu disebabkan masalah kekurangan lembu di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, walaupun Terengganu mengalami masalah kekurangan lembu, bekalan mencukupi sempena musim perayaan tidak lama lagi.

“Walaupun kita mengalami masalah ini, untuk ibadah korban sempena Hari Raya Haji nanti, bekalan lembu di negeri ini mencukupi. Tambahan pula kita sendiri ada lembu tempatan.

“Mengenai bekalan lembu kita tiada masalah, sebab dua bulan lalu kita telah mengimport kira-kira 100 ekor lembu dari luar (Thailand). Cuma, harganya agak mahal. Bagi yang ingin membuat ibadah korban, ia sekitar RM450 hingga RM500 untuk sebahagian,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, apa yang dibimbangkannya sekarang ialah serangan penyakit kuku dan mulut yang menyerang lembu tempatan selepas musim tengkujuh nanti.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, ada lembu yang diserang penyakit ini selepas musim tengkujuh. Disebabkan penyakit ini, ia sedikit sebanyak membantutkan proses pembiakan lembu di negeri ini.

Beliau berkata, kebanyakan penduduk kampung yang memelihara lembu bertindak menanam haiwan itu sekiranya mati akibat sakit.

“Biasanya, selepas musim tengkujuh, ada dalam kalangan haiwan ini diserang penyakit kuku dan mulut.

“Sebab itulah kita galakkan penternak melaporkan kepada pihak bertanggungjawab jika haiwan peliharaan mereka mati bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment