Sebahagian daripada warga asing yang berjaya dicekup dalam operasi tersebut.
SENAI – Cubaan melarikan diri dengan bersembunyi di bilik air nyata tidak berjaya mengaburi pegawai Imigresen dalam dua serbuan berasingan di sebuah pusat terapi dan refleksologi di sini, kelmarin.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Kharulanuar Abu Bakar berkata, serbuan yang digerakkan 15 anggotanya pada jam 11.06 malam ke lokasi pertama di Jalan Keris Tmn Seri Tebrau, di sini berjaya menahan lima wanita warganegara Cina.
Kesemua mereka berusia 26 hingga 38 tahun ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan ada antara mereka tidak memiliki dokumen yang sah.
“Manakala serbuan kedua di Nusa Bestari, kami berjaya menahan 10 wanita yang juga warganegara Tembok Besar itu berusia 23 hingga 43 tahun atas kesalahan yang sama,” katanya.
Jelasnya, sebelum serbuan dilakukan, pegawainya telah menyamar sebagai pelanggan sebelum disusuli serbuan.
“Pelbagai helah dan cubaan dilakukan mereka ini daripada dicekup, ada yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di bilik air serta di sebalik kain bilik tabir.
“Kesemua yang ditahan dihantar ke Depoh Imigresen Pekan Nanas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial selain tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment